Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Berkuat kuasa esok, pelitup muka tidak lagi wajib dipakai apabila berada di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, kelonggaran itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Katanya, ia juga selaras dengan ketetapan terkini kerajaan berkaitan kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan Covid-19, namun pihaknya masih menggalakkan pemakaian pelitup muka khususnya bagi yang berkeperluan.

"Individu bergejala seperti demam, batuk dan selesena serta mereka yang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak amat digalakkan untuk memakai pelitup muka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dengan kelonggaran itu, beliau mengajak umat Islam mengimarahkan masjid dan surau pada setiap masa bersama ahli keluarga dan jiran tetangga demi kesejahteraan ummah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 1:09 PM