PETUGAS pembersihan melakukan penyemburan nyahkuman di kaki lima bangunan rumah kedai di Kuala Pilah bagi mengekang penularan wabak Covid-19. FOTO Amran Yahya
PETUGAS pembersihan melakukan penyemburan nyahkuman di kaki lima bangunan rumah kedai di Kuala Pilah bagi mengekang penularan wabak Covid-19. FOTO Amran Yahya
Amran Yahya


WALAUPUN hanya terdapat tiga kes positif Covid-19 di Kuala Pilah, beberapa agensi melaksanakan kerja nyah kuman di kawasan pekan, semalam bagi menyekat penularan wabak berkenaan.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP), Mohd Faizal Abdul Manap berkata, tiga kes itu masih dikategorikan rendah, namun sekiranya langkah berjaga-jaga tidak dibuat sudah pasti wabak Covid-19 boleh menular dengan mudah.

“Kami masih mampu menarik nafas lega kerana tiga kes disahkan positif virus itu bukanlah berpunca dari daerah ini.

“Dua kes adalah individu daripada kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling manakala satu kes lagi mempunyai rekod pulang dari luar negara dengan dua daripadanya masih dirawat manakala seorang lagi dibenarkan pulang dari hospital.

“Bagaimanapun, kami tidak boleh mengambil sikap sambil lewa kerana penularan wabak ini berlaku begitu mudah dan cepat,” katanya.

Mohd Faizal, kerja nyah kuman membabitkan petugas dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWcorp) dan MDKP.

Beliau berkata, antara lokasi diberi tumpuan adalah deretan bangunan kedai di pekan Kuala Pilah, pasar awam lama dan baharu, pasar ayam, gerai MDKP submarket, perhentian bas dan teksi serta deretan kedai dan gerai MDKP di Pilah Perdana.

“Tumpuan semburan nyah kuman adalah tempat duduk awam seperti di kedai makan serta perhentian bas dan teksi, kepala paip, besi railing, tandas awam dan laluan pejalan kaki di kaki lima bangunan.

“Petugas dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan dipantau oleh pegawai KKM,” katanya.

Beliau berkata, kerja penyemburan bermula pada 5 petang dan berakhir pada 6.30 petang dengan membabitkan 30 petugas.

Menurutnya, sebagai langkah pencegahan orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk terus ‘duduk ontok-ontok di rumah’ (duduk diam-diam di rumah).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 5:32 PM