GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pengarah syarikat kerugian lebih RM174,000 selepas kononnya memenangi hadiah cabutan bertuah lebih HKD$4.4 juta (RM2.38 juta).

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Deputi Superintendan Yap Huat Tian berkata, mangsa, 61, dihubungi wakil syarikat perjudian dari Macau dan Hong Kong memaklumkan kemenangannya hujung tahun lalu disusuli panggilan daripada pegawai dikatakan daripada Bank Forex Hong Kong.

"Atas arahan pegawai itu, mangsa diminta menjelaskan pelbagai bayaran termasuk cukai kastam dan kos guaman bagi menuntut hadiah wang yang bakal diterima.

"Mangsa turut diperdaya hingga membuat beberapa bayaran lain melalui 10 transaksi bayaran ke lima akaun bank atas nama individu berbeza dengan jumlah bayaran keseluruhan RM174,939," katanya dalam kenyataan hari ini.

Huat Tian berkata, selepas bayaran itu dijelaskan mangsa gagal menerima wang hadiah yang dijanjikan pihak terbabit.

"Mangsa mula curiga dan syak dia ditipu apabila panggilannya disekat.

"Mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 1:01 PM