Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Rafi Mamat


PEKERJA kilang wanita kerugian RM6,500 akibat terpedaya sindiket 'parcel scam' selepas berkenalan dengan seorang lelaki dari Kuwait menerusi Facebook, Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berusia 35 tahun itu mendakwa kenalannya itu bernama Adam Mohamed mengirimkan 'hadiah istimewa' berupa baju, tudung dan patung beruang sebagai tanda perkenalan pada 20 Jun lalu.

Bagaimanapun, katanya, mangsa perlu membayar kos penghantaran sebanyak RM1,000 sebelum menuntut hadiah terbabit.

"Pada hari berikutnya, mangsa menerima panggilan daripada individu kononnya dari syarikat kurier memaklumkan kiriman daripada Adam Mohamed sudah sampai dan dia diminta menjelaskan kos penghantaran sebelum bungkusan hadiah terbabit diserahkan.

"Mangsa menjelaskan bayaran itu pada malam hari yang sama melalui akaun bank atas nama individu bernama Kingsley," katanya.

Katanya, selepas mangsa membuat bayaran yang diminta, dia sekali lagi dihubungi maklumkan bungkusan berkenaan ditahan pihak berkuasa kerana mengandungi sejumlah mata wang asing yang disyaki ada kaitan dengan kes penggubahan wang haram.

"Mangsa diarahkan supaya membuat bayaran sebanyak RM3,000 bagi memastikan bungkusan hadiah terbabit dapat diserahkan selain bagi mengelaknya didakwa di mahkamah.

"Bimbang berdepan tindakan undang-undang, mangsa membuat bayaran itu secara berperingkat pada 29 Jun hingga 5 Julai lalu melalui akaun bank yang sama," katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa juga turut dihubungi Adam Mohamed untuk meminjam wang RM2,500 dan dia membantu kenalannya itu dengan memasukkan wang seperti diminta ke akaun bank, namun atas nama individu lain.

"Mangsa mulai curiga dan merasakan dirinya tertipu dan membuat laporan polis apabila suspek terus meminta wang sedangkan barang yang dikatakan dikirimkan tidak sampai.

"Polis kini sedang mengesan pemilik akaun bank dan nombor telefon yang digunakan dalam kes ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menasihatkan kepada masyarakat supaya tidak mudah terpedaya dengan tipu helah individu yang menggunakan pelbagai cara untuk memerangkap mangsa supaya menyerahkan bayaran dengan jumlah tertentu.

Katanya, mereka perlu merujuk kepada pihak polis dan agensi berkaitan sekiranya menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang cuba menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 1:48 PM