KERETA dinaiki mangsa hampir putus dua selepas merempuh pokok di tepi jalan.
KERETA dinaiki mangsa hampir putus dua selepas merempuh pokok di tepi jalan.
Erika George


Mukah: Nelayan maut, manakala anak perempuannya parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan merempuh pokok di Jalan Orang Kaya Setia Raja di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya dimaklumkan kemalangan itu pada 1.40 petang dengan pemandu dikenali Hassan Rajak, 51, dan anaknya, Nursyamimi Hasan, 21.

Katanya, pemandu disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan selepas mengalami kecederaan di kepala termasuk patah tangan dan kaki kiri.

"Anak perempuan mangsa pula parah dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal," katanya dalam kenyataan.

Alexson berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa memandu di laluan lurus dari arah Kampung Tellian Laut ke Pasar Baru Mukah.

Bagaimanapun katanya ketika tiba di lokasi kejadian, kereta tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas dan merempuh pokok di tepi jalan, malah kereta hampir putus dua disebabkan rempuhan kuat.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 10:12 PM