Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Tindakan pensyarah yang seakan-akan menempelak atau menghina golongan B40 sememangnya amat dikesali dan ia tidak sepatutnya berlaku.

Bagaimanapun, orang ramai juga perlu adil dalam memahami konteks yang ingin disampaikan oleh pensyarah itu adalah untuk kebaikan pelajar dalam penyediaan kelengkapan pembelajaran.

Presiden Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Raduan Che Ros berkata, insiden berkenaan dikesali terutama membabitkan pensyarah di sebuah universiti awam.

"Namun, kita jangan cepat melatah dan menghamburkan kata-kata tidak sepatutnya kepada pensyarah berkenaan kerana perlu diadili kata-kata beliau dengan sebaiknya.

"Pada perkiraan saya, apa yang dikatakan oleh pensyarah berkenaan ada benarnya cuma mungkin agak keterlaluan ketika menyentuh golongan B40.

"Pada hari ini, kita dapat melihat tidak mengira golongan mana, mereka mampu untuk memiliki gajet serta telefon pintar dengan harga beribu-ribu ringgit namun untuk penyediaan pembelajaran, tidak pula begitu," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Awal pagi tadi, tular di laman sosial klip berdurasi 1 minit 44 saat memaparkan seorang pensyarah wanita memarahi pelajar lelakinya yang tidak mempunyai komputer sebaliknya masuk ke kelas dalam talian menggunakan telefon pintar.

Raduan berkata, kelengkapan pembelajaran terutamanya ketika pasca pandemik ini sangat penting dan sebagai seorang pelajar, memiliki sebuah laptop itu umpama satu kemestian serta sebahagian daripada keperluan.

"Saya tidak membenarkan perbuatan pensyarah itu dan pada masa sama tidak juga menafikan apa yang dikatakan oleh beliau kerana fakta berkenaan ada justifikasinya.

"Masyarakat awam pada hari ini marah apabila membabitkan B40 yang amat sensitif, namun kita juga perlu melihat mesej di sebalik insiden ini.

"Saya amat berharap insiden ini dapat diselesaikan dengan cara terbaik dalam masa terdekat," katanya.

Berita berkaitan

MPP UiTM minta siasatan dan tindakan kepada pensyarah

UiTM ambil tindakan terhadap pensyarah perlekeh pelajar B40

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 12:07 PM