ROSTHMAN (kanan) dan Ibrahim (dua kanan) semasa pelancaran kad keahlian Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (UITM) Melaka (UMAT)  di Hotel LaCrista.FOTO Nazri Abu Bakar
ROSTHMAN (kanan) dan Ibrahim (dua kanan) semasa pelancaran kad keahlian Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (UITM) Melaka (UMAT) di Hotel LaCrista.FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar

Melaka: Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka (UMAT) melancarkan tabung persatuan terbabit bagi membantu golongan memerlukan, malam tadi.

Presiden UMAT, Datuk Rosthman Ibrahim berkata, tabung berkenaan bertujuan membantu alumni, penuntut UiTM Melaka dan komuniti yang memerlukan.

Beliau berkata, turut dilancarkan kad keahlian dan laman sesawang UMAT yang dirasmikan Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Seri Dr Ibrahim Shah Abu Shah.

"Dalam majlis makan malam ini, sesi bidaan produk hasil kerja seni lukis penuntut dan staf kampus turut diadakan dengan hasil bidaan disalurkan bagi membiayai keperluan UMAT menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

"Program ini kali pertama diadakan dan dirancang pada 2020, namun tertangguh dua kali berikutan pandemik Covid-19," katanya pada Majlis Makan Malam UMAT di Hotel LaCrista Melaka, malam tadi.

Turut hadir 250 alumni,pesara dan pensyarah serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga bekas penuntut UiTM berkenaan.

Hadir sama, dua bekas Rektor UiTM Melaka, Profesor Datuk Dr Mizan Hitam yang kini Penolong Naib Canselor Institut Kepimpinan dan Pembangunan UiTM dan Datuk Sabariah Mahat.

Rosthman berkata, UiTM Melaka memiliki lebih 50,000 graduan, namun agak sukar mencari mereka dan UMAT sedaya upaya akan mengesan mereka kerana mampu memberi impak kepada universiti dalam pembaharuan kursus, program dan silibus baharu.

Beliau berkata, alumni boleh mendaftar secara dalam talian dan bayaran RM20 setahun akan memberikan pelbagai kelebihan termasuk kad keahlian selain mendapat diskaun di Hotel LaCrista dan produk sukan Al Ikhsan.

Katanya, setakat ini 300 sudah menjadi ahli dan pihaknya menyasarkan 3,000 ahli sehingga hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 2:23 PM