FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Hari Air Sedunia yang disambut setiap tahun sebagai satu peringatan kepada masyarakat dunia termasuk Keluarga Malaysia supaya lebih menghargai kepentingan air.

Perdana Menteri berkata Hari Air Sedunia yang disambut pada 22 Mac setiap tahun juga secara tidak langsung mengingatkan setiap masyarakat mengenai keperluan untuk melestarikan sumber air yang ada.

Malaysia dalam hal ini menurutnya merupakan antara negara yang komited dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam Perhimpunan Agung PBB pada September 2015 untuk dicapai menjelang 2030.

"Komitmen boleh dilihat melalui langkah-langkah menerapkan strategi SDG dengan memperkenalkan Pelan Induk Teknologi Hijau yang dimulakan pada 2017.

"Lima strategi utama juga diperkenalkan dalam RMK-12 untuk mentransformasi sektor air negara bagi memastikan kelestariannya untuk manfaat penduduk negara ini," katanya dalam kenyataannya di akaun Facebook rasminya.

Sesuai tema tahun ini iaitu "Groundwater: Making the invisible visible" yang dipilih PBB, Ismail Sabri turut menyifatkan air tanah sebagai sumber air yang sangat berguna dan menjadi bahagian penting dalam proses penyesuaian perubahan iklim dan penyelesaian bagi akses kepada air selamat.

"Oleh itu, saya menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia supaya menggunakan air dengan cermat dan penuh berhemah. Selamat menyambut Hari Air Sedunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 12:33 PM