DATUK Seri Najib Tun Razak hadir untuk perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 billion di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi
DATUK Seri Najib Tun Razak hadir untuk perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 billion di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (Pekan-BN), sudah memberi penjelasan mengenai kenyataan yang dibuat beliau mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Dewan Rakyat pada awal bulan ini, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun hari ini.

Azhar Azizan berkata, beliau sudah menerima penjelasan berkenaan pada masa dan hari yang ditetapkan iaitu 10 pagi Selasa minggu lalu.

"Saya sudah meneliti penjelasan tersebut dan ia agak tepat. Saya sudahpun duduk dengan Yang Berhormat Damansara (Tony Pua) untuk penjelasan yang diberikan, dan saya sudah sedikit masa kepada Yang Berhormat Damansara untuk menjawab persoalan-persoalan tersebut," tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab celahan RSN Rayer (Jelutong-DAP) yang bertanyakan penjelasan Najib mengenai 1MDB, yang sepatutnya diberi minggu lalu.

Namun begitu, sebarang keputusan berkenaan persoalan mengenai 1MDB yang dibangkitkan oleh Najib, akan dibuat selepas mendapat maklum balas yang menyeluruh.

Azhar Azizan berkata, perkara berkenaan amat rumit, disebabkan oleh butiran-butiran yang terperinci dan spesifik.

"Butiran-butiran berkenaan terpaksa saya perhatikan sama ada apa yang diperkatakan itu mengelirukan atau tidak," tambahnya.

Awal bulan ini, Phua (Damansara-PH) mengemukakan usul merujuk Najib kepada Jawatankuasa Khas Pilihan kerana didakwa cuba mengelirukan Ahli Dewan berkaitan isu 1MDB.

Beliau berkata, penjelasan juga sudah diberikan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz seperti yang diminta.

"Saya akan beri semua salinan kepada Yang Berhormat Pekan dan Yang Berhormat Damansara supaya mereka tahu apa yang diperkatakan dan selepas menjawab jawapan daripada Yang Berhormat Damansara, saya akan membuat keputusan," kata Azhar Azizan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 5:12 PM