Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Seramai 22 kanak-kanak peserta Program Istiqamah Subuh Berjemaah 40 Hari di Kampung Pengkalan Batu, di sini, tersenyum girang apabila menerima hadiah basikal tadi.

Selepas 40 hari 'bangun awal' mengikuti program anjuran Biro Pendidikan, Agama, Dakwah dan Ziarah Kasih, Masjid Nur As-Sa'adah bermula 2 Februari lalu, mereka akhirnya disahkan lulus dan layak mendapat basikal setiap seorang.

Salah seorang peserta, Muhammad Qairul Aziz Rosdi, 10, berkata, dia bersyukur mendapat basikal bukit yang diidamkannya sejak mendaftar untuk program itu.

"Mula-mula hadir solat Subuh berjemaah pada Februari lalu, saya lebih tertarik untuk menang basikal.

"Namun lama-kelamaan timbul pula rasa minat untuk ke masjid setiap hari bersama-rakan-rakan. Alhamdulillah syukur atas hadiah basikal ini dan terima kasih kepada masjid serta pihak yang menganjurkan program ini," katanya.

Sementara itu murid Tahun 3, Muhamad Tarmizi Faezal, sembilan tahun, pula berkata, dia gembira kerana dapat datang ke masjid dengan berbasikal bersama kawan-kawan selepas ini.

"Seronok datang ke masjid ini kerana bukan saja dapat solat, malah ada makanan disediakan dan dapat bermain dengan ramai kawan.

"Lepas ini tidaklah rasa bosan lagi duduk di rumah kerana dapat main basikal bersama sama-sama," katanya.

KANAK-KANAK teruja menerima hadiah basikal menerusi Program Istiqamah Subuh Berjemaah 40 Hari anjuran Masjid Nur As-Sa'adah, Kampung Pengkalan Batu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
KANAK-KANAK teruja menerima hadiah basikal menerusi Program Istiqamah Subuh Berjemaah 40 Hari anjuran Masjid Nur As-Sa'adah, Kampung Pengkalan Batu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Sementara itu, Pengerusi Masjid, Datuk Amzah Osman berkata, keseluruhannya pihak masjid menerima 45 penyertaan bagi program itu.

Menurutnya, program itu bermatlamat mencari dan membimbing pelapis muda bagi mengimarahkan institusi masjid pada masa depan.

"Namun, pada hari ini (semalam) penyerahan basikal dibuat kepada 22 kanak-kanak saja dan bakinya seramai 23 orang lagi akan diserahkan pada fasa kedua.

"Ini disebabkan ada peserta masih belum lengkap program selama 40 hari atau menjalani kuarantin akibat kontak rapat Covid-19," katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyampaian itu yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Datuk Mohd Arif Yusa.

Menurut Amzah, beliau optimis bahawa peserta terbabit dapat dibentuk menjadi pelapis dalam mengimarahkan masjid di kampung itu pada masa depan.

Katanya, bagi tujuan itu pihaknya akan sentiasa membabitkan kanak-kanak terbabit dalam pelbagai program direncanakan masjid termasuk bacaan Yasin.

"Selepas ini kita akan jadikan anak-anak ini sebagai sukarelawan masjid, menganjurkan bengkel kerohanian buat mereka dan memastikan usaha istiqamah subuh berjemaah selama 40 hari ini terus dijadikan amalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 4:05 PM