Kamarul Zaman Mamat
Kamarul Zaman Mamat
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Polis Johor menafikan berlakunya kes menculik, membunuh bertujuan pengambilan organ kanak-kanak di beberapa daerah di seluruh Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya mengesan penularan maklumat palsu itu yang semata-mata mahu menimbulkan kebimbangan orang ramai.

Beliau berkata, maklumat palsu itu disebarkan menerusi audio di laman sosial Facebook (FB) dan WhatsApp.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati audio yang ditular adalah audio lama yang tidak benar.

"Kejadian culik, bunuh dan pengambilan organ itu kononnya didakwa berlaku di Kahang, Mersing, Kluang dan Masai.

"Audio yang sama pernah ditular pada 2019 dan polis mengesahkan kejadian seumpama itu tidak pernah berlaku di Johor," katanya.

Beliau berkata, polis mendapati ia suatu cubaan untuk menimbulkan ketakutan dan kebimbangan orang ramai.

Katanya, perbuatan menyebarkan dan membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang-undang dan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

"Polis menasihati orang ramai agar tidak mudah mempercayai dakwaan diperoleh daripada sumber tidak sah menggunakan maklumat palsu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 8:40 PM