Siti Rohana Idris


Tumpat: Walaupun sudah lebih dua minggu bencana banjir berlalu, dua beranak terpaksa tinggal dalam kediaman mereka yang dipenuhi sisa banjir di Kampung Ana, di sini.

Ini berikutan Zauyah Deraman, 37, yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal tidak mampu membersihkan rumah itu sendirian, manakala ibunya Fatimah Yusoh, 74, sudah uzur.

Sebelum ini, rumah mereka dinaiki air setinggi 0.6 meter sehingga menyebabkan sebahagian besar peralatan rosak dan tidak boleh digunakan lagi.

Zauyah berkata, mereka kini bertahan tinggal dalam rumah yang masih terdapat sisa banjir termasuk tidur di atas tilam lembab, lantai tidak beralas dan ruang yang dipenuhi timbunan sampah.

Menurutnya, kebiasaannya dia dengan bantuan rakan akan mengemas semua barangan untuk diletakkan di tempat tinggi sebelum berlaku banjir.

"Bagaimanapun, banjir yang berlaku hujung Februari lalu memang di luar jangka menyebabkan saya tidak sempat mengemas barang tetapi hanya memikirkan keselamatan diri.

"Sebaik banjir surut seperti sebelum ini, tujuh beradik lain yang menetap di luar Kelantan akan pulang untuk membantu mengemas tapi mereka dijangkiti Covid-19 sekali gus tidak dapat pulang.

"Sehingga kini, kami masih belum dapat mengemas semula rumah kerana keadaan fizikal saya sebegini, mana mampu melakukan kerja berat," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Wanita OKU fizikal, Zauyah Deraman, 37, menunjukkan ruang yang dipenuhi timbunan sisa banjir dan belum sempat dikemaskan lagi di rumahnya di Kampung Ana di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Wanita OKU fizikal, Zauyah Deraman, 37, menunjukkan ruang yang dipenuhi timbunan sisa banjir dan belum sempat dikemaskan lagi di rumahnya di Kampung Ana di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Terdahulu, dua beranak itu dikunjungi Pengerusi Cempaka Merah Asnaf Society Che Norhayati Mohamed yang menyampaikan sumbangan beberapa peralatan rumah.

Zauyah yang mengalami kecacatan kedua-dua tangan dan kaki berkata, walaupun tidak selesa disebabkan keadaan rumah yang berselerak, mereka tidak mampu berbuat apa-apa.

"Banyak juga pakaian reput disebabkan tenggelam banjir dan saya tidak sempat membasuh kerana kawasan ini mengalami masalah air sejak sekian lama.

"Ada juga terfikir untuk membawa pakaian ke dobi untuk dibasuh, tapi dengan kekangan fizikal menyebabkan niat berkenaan terpaksa dipendamkan," katanya.

Sementara itu, Che Norhayati berkata, bantuan tilam, almari pakaian, rak, periuk dan cerek elektrik kepada keluarga berkenaan adalah hasil sumbangan orang ramai.

"Kami juga sudah mengupah individu untuk mengemas rumah Zauyah kerana melihat keadaannya sangat berselerak dan tidak selesa serta tidak selamat untuk didiami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 2:31 PM