Oleh M Hifzuddin Ikhsan


Kulim: Penduduk tiga kampung di Mukim Keladi di sini, mendakwa kegiatan sebuah kuari melakukan aktiviti mengorek pasir menyebabkan berlakunya hakisan dan runtuhan tebing yang serius di Sungai Kulim sejak lebih tiga tahun lalu.

Kesan daripada kegiatan itu dikatakan menyebabkan aliran sungai menjadi terlalu deras terutama ketika musim tengkujuh sehingga menjejaskan kehidupan penduduk di Kampung Tok Rasul, Kampung Sungai Badak dan Kampung Dusun.

Tinjauan wartawan dan jurugambar mendapati kuari terbabit melakukan kerja mengorek pasir sungai pada jarak terlalu hampir dengan kebun dan kawasan penempatan penduduk hampir setiap hari.

Keadaan itu secara tidak langsung mengakibatkan berlakunya hakisan pada tebing Sungai Kulim selain kelebaran sungai menjadikan lebih lebar serta alurnya juga berubah daripada kedudukan asal.

Penduduk, Borhan Ayob, 43, berkata kedudukan kuari yang terletak hanya kira-kira 150 meter daripada tanah miliknya didapati semakin berleluasa dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Jelasnya, setiap hari penduduk melihat sendiri jentera berat seperti traktor dan lori hantu membawa pasir yang dikorek dari sungai bagi dibawa keluar pemilik kuari sebelum dijual bagi kegiatan pembinaan.

"Asalnya tebing Sungai Kulim ini adalah tanda sempadan tanah milik saya. Tetapi sejak kegiatan mengorek pasir dilakukan, tebing sungai runtuh dan kedudukan sungai pula berubah dan kini aliran Sungai Kulim berada di dalam kebun saya.

"Ini berdasarkan kedudukan batu sempadan asal yang kini berada di seberang sungai dan saya pula 'kehilangan' tanah lebih sembilan meter yang kini menjadi sungai," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, aduan mengenai masalah ini sudah dibuat beberapa kali kepada Pejabat Daerah Kulim dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), malah perbincangan bersama pemilik kuari pernah dibuat, namun sehingga kini tiada penyelesaian dicapai.

Katanya, kegiatan kuari pernah berhenti sebentar selepas penduduk kampung membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), namun ia kembali berjalan seperti biasa tidak lama kemudian.

"Dalam pertemuan bersama Pejabat Daerah Kulim dan JPS, pemilik kuari pernah berjanji mahu membina tembok bagi menghalang runtuhan tebing terus berlaku di kawasan tanah penduduk, tetapi ia tidak pernah ditunaikan.

"Kami harap pihak berkuasa dapat ambil tindakan, jangan tunggu sampai semua pasir habis dikorek dan lebih penting keselamatan penduduk kampung yang menetap di sini sejak sekian lama," katanya.

Seorang lagi penduduk, Azhar Hassain, 58, pula berkata runtuhan tebing Sungai Kulim semakin serius sejak kebelakangan ini akibat cuaca tidak menentu sehingga jarak tebing sungai dan belakang rumahnya semakin hampir.

"Keadaan menjadi lebih buruk apabila ada sisa pokok tumbang dan kayu di dalam sungai yang tidak dibersihkan menjadikan tebing sungai cepat terhakis serta runtuh.

"Malah sebelum ini, pernah berlaku serumpun pokok buluh tumbang ke dalam sungai akibat hakisan yang merebak ke kawasan tanah milik penduduk dengan rumah saya yang paling terjejas," katanya.

Azhar berkata, dia menganggarkan alur sungai melebar sehingga 10 meter dan jarak rumahnya dengan runtuhan tebing kini hanya kira-kira 20 meter sahaja.

Sementara itu, EXCO Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Tenaga negeri, Datuk Suraya Yaacob ketika dihubungi memaklumkan, EXCO Pertanian dan Industri Makanan negeri, Azman Nasrudin telah melakukan tinjauan ke kawasan terbabit baru-baru ini.

Azman yang dihubungi kemudian memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu hakisan dan runtuhan tebing Sungai Kulim lewat petang hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 3:42 PM
Tinjauan sebuah kuari melakukan aktiviti mengorek pasir menyebabkan berlakunya hakisan dan runtuhan tebing yang serius di Sungai Kulim sejak lebih tiga tahun lalu. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Tinjauan sebuah kuari melakukan aktiviti mengorek pasir menyebabkan berlakunya hakisan dan runtuhan tebing yang serius di Sungai Kulim sejak lebih tiga tahun lalu. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR