M Hifzuddin Ikhsan


Merbok: Kewujudan dua kuari yang beroperasi sejak lebih 10 tahun lalu di sini, didakwa menjadi antara punca banjir melanda kawasan penempatan yang terletak berdekatan kaki Gunung Jerai semalam.

Kuari bijih besi seluas lebih 26 hektar berdekatan Pusat Rekreasi Tupah dikatakan menjadi punca Sungai Tupah menjadi cetek sehingga tidak mampu menampung aliran air yang turun dari puncak Gunung Jerai.

Keadaan bertambah buruk apabila kawasan kaki gunung turut diteroka dan diratakan bagi aktiviti penanaman pokok durian serta tanaman lain yang dilihat berada terlalu hampir dengan Sungai Tupah.

Keadaan sama turut didapati berlaku di kuari batu berdekatan Singkir yang dikatakan menjejaskan aliran sungai kecil yang mengalir melalui beberapa kampung berdekatan kawasan berkenaan.

Tinjauan wartawan dan jurugambar di kuari bijih besi Tupah mendapati, kegiatan mengorek masih dilakukan pekerja seperti biasa hari ini, walaupun jambatan menghubungkan jalan utama ke tapak kuari roboh akibat dilanda kepala air.

Selain itu, terdapat kawasan kecil di tebing Sungai Tupah didapati baru dirata dan ditebang pokok dipercayai bagi melaksanakan aktiviti pertanian oleh pihak tertentu.

Penduduk Kampung Singkir Badong, Mohd Rosidi Mohd Rashid, 62, berkata, fenomena kepala air di Sungai Tupah bukan sesuatu yang luar biasa kerana sudah kerap berlaku sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, kejadian kepala air yang berlaku antara jam 3 hingga 4 petang semalam, adalah yang terburuk pernah berlaku kerana turut menyebabkan banjir di kawasan kampung dan taman berhampiran.

KUARI bijih besi seluas lebih 26 hektar berdekatan Pusat Rekreasi Tupah serta hampir dengan Sungai Tupah di sini, didakwa menjadi antara punca banjir melanda kawasan penempatan yang terletak berdekatan kaki Gunung Jerai. FOTO Danial Saad
KUARI bijih besi seluas lebih 26 hektar berdekatan Pusat Rekreasi Tupah serta hampir dengan Sungai Tupah di sini, didakwa menjadi antara punca banjir melanda kawasan penempatan yang terletak berdekatan kaki Gunung Jerai. FOTO Danial Saad

"Memang tidak ada kegiatan pembalakan di Gunung Jerai dan saya percaya tidak ada orang yang berani masuk menebang pokok di hutan yang mempunyai pelbagai kisah mistik.

"Malah berdasarkan pokok balak yang hanyut, hampir semuanya masih berakar menunjukkan ia tercabut akibat aliran kepala air yang terlalu kuat," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam kejadian semalam, aliran air Sungai Tupah melimpah sejauh hampir satu kilometer menyebabkan lebih 50 rumah penduduk di Kampung Tandop Batu, Kampung Sungai Batu dan Taman Lembah Merbok dilanda banjir.

Mohd Rosidi berkata, penduduk kampung tidak menolak kemungkinan berlaku keadaan di mana berlaku runtuhan tanah sekitar kuari bijih besi yang sisanya masuk ke Sungai Tupah.

"Selama ini, Sungai Tupah masih mampu menampung aliran air dari Gunung Jerai dan tidak pernah menyebabkan banjir kepada penduduk, walaupun ketika kepala air melanda.

"Tetapi Sungai Tupah semakin cetek sejak kebelakangan ini, malah kini penduduk boleh lihat pasir di tengah sungai. Keadaan ini yang mungkin menyebabkan banjir semalam," katanya.

Bagi penduduk Kampung Singkir Genting, Azmi Md Noah, 45, berkata, kesan daripada kegiatan kuari batu di Singkir boleh dilihat semalam, apabila aliran beberapa sungai melimpah walaupun tidak menyebabkan banjir teruk.

"Untuk mengambil batu di kuari, mereka terpaksa tebang pokok balak di kaki Gunung Jerai, akibatnya kawasan kuari menjadi lapang dan aliran sungai menjadi laju serta berbahaya ketika hujan lebat atau kepala air melanda.

"Perkara ini sudah kami maklumkan pada pihak berkuasa beberapa kali, tapi tiada tindakan diambil termasuk usaha mendalamkan sungai berdekatan. Jika keadaan berlarutan, tidak mustahil kampung kami dilanda banjir juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 3:57 PM