Junita Mat Rasid dan Suzalina Halid

Johor Bahru: Perikatan Nasional (PN) akan membuat 'post mortem' mencari punca kekalahan gabungan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya bagaimanapun menegaskan berjaya mewujudkan sokongan daripada pilihan raya itu walaupun merupakan gabungan parti baharu.

"Kita akan buat analisa dan bedah siasat kenapa tidak dapat sejumlah kerusi yang besar.

"Kalau dilihat pada data dalam pilihan raya ini, walau parti baharu namun kempen yang dilaksanakan mendapat perhatian rakyat.

"Jadi ini satu petanda bahawa perjuangan kita diterima," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PN di Senai, di sini.

Muhyiddin (tengah) bersama Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin (kanan) dan Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau ketika sidang media selepas keputusan PRN Johor di Bilik Gerakan Utama PN di Senai hari ini. Foto Hairul Anuar Rahim
Muhyiddin (tengah) bersama Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin (kanan) dan Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau ketika sidang media selepas keputusan PRN Johor di Bilik Gerakan Utama PN di Senai hari ini. Foto Hairul Anuar Rahim

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, PN tidak berasa begitu terkilan dengan keputusan PRN Johor berikutan mendakwa sudah mewujudkan sokongan daripada pengundi.

Ketika ditanya sama ada PN akan bekerjasama dengan blok pembangkang, selepas ini, beliau berkata, perkara itu tidak dibincangkan dan diperhalusi lagi.

Mengenai kemungkinan Barisan Nasional (BN) akan membentuk kerajaan dengan PN, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, pihaknya tidak fikir akan bekerjasama dengan parti itu kerana mereka sudah cukup untuk membentuk kerajaan.

Daripada 56 kerusi yang ditandingi PN, gabungan parti itu hanya menang di tiga kerusi iaitu di Bukit Kepong, Endau dan Maharani.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 11:55 PM