GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Pasukan Polis Marin (PPM) melaksanakan rondaan sepanjang tempoh perayaan Cuti Tahun Baru Cina bagi menghalang jenayah rentas sempadan.

Komander Pasukan Polis Marin, Senior Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, rondaan itu dilaksanakan termasuk menguatkuasakan Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO).

Menurutnya, jika ketika rondaan itu mendapati ada bot pelancong yang membawa penumpang lebih muatan, PPM akan menahan sebelum menyerahkan mereka kepada Jabatan Laut Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

"Tindakan ini diambil supaya sepanjang tempoh perayaan ini orang ramai mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada.

"Rondaan di laut dijalankan untuk mengesan kemungkinan ada yang mengambil kesempatan ketika cuti perayaan untuk melakukan kesalahan yang melanggar undang-undang maritim," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rosman berkata, rondaan itu termasuk bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan kesalahan lain berkaitan jenayah maritim.

Harian Metro kelmarin melaporkan seramai 10 individu cedera selepas bot pelancong dinaiki mereka yang dalam perjalanan pulang dari Jeti Pulau Perhentian ke Jeti Pelancongan Kuala Besut, terbalik selepas bertembung dengan bot nelayan, petang kelmarin.

Akibat pertembungan itu, bot membawa pelancong terbalik di muara Sungai Besut berhampiran Jeti Pelancongan Kuala Besut, kira-kira 3.30 petang.

Difahamkan bot pelancong itu berlepas Ke Pulau Perhentian pada 9 pagi sebelum bertolak balik ke Jeti Pelancongan Kuala Besut pada 2.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Februari 2022 @ 12:44 PM