ANGGOTA Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor membuat pemantauan di Pantai Teluk Nipah susulan orang ramai mengambil peluang menyeberang ke Pulau Giam dari pantai berkenaan. FOTO Shahrul Hafiz Zam
ANGGOTA Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor membuat pemantauan di Pantai Teluk Nipah susulan orang ramai mengambil peluang menyeberang ke Pulau Giam dari pantai berkenaan. FOTO Shahrul Hafiz Zam
Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Orang ramai yang mengambil peluang menyeberang ke Pulau Giam dari Pantai Teluk Nipah, di Pulau Pangkor di sini, dengan berjalan kaki diingatkan supaya sentiasa peka jadual air pasang surut.

Ia bagi mengelakkan kejadian tidak diingini atau ada pengunjung terperangkap di Pulau Giam yang terletak kira-kira 400 meter dari pantai berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pangkor, Shah Al Haffiz Mohd Redzuan berkata, pihaknya mengambil inisiatif pemantauan di darat dan laut bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan pengawal pantai atau beach guard sepanjang fenomena air surut itu.

Menurutnya, fenomena unik itu berlaku setiap tahun pada Februari atau musim perayaan Tahun Baharu Cina sejak sekian lama yang kini menjadi tumpuan ramai selepas ia tular di media sosial.

"Tiada ketetapan (yang melarang pengunjung menyeberang pulau berkenaan) jadi inisiatif kita melakukan pemantauan bersama APM, Polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan beach guard supaya keadaan terkawal.

"Kami menasihati dan mengingatkan pengunjung supaya berhati-hati, memakai jaket keselamatan dan peka dengan jadual air pasang surut. Mereka boleh mendapatkan maklumat daripada aplikasi, di laman web atau pihak berkaitan," katanya.

Shah Al Haffiz berkata, pemantauan dilakukan dari pihaknya membabitkan sebuah bot bersama tiga anggota di laut, manakala lapan anggota di sekitar kawasan pantai dengan turut disertai 11 pekerja reaksi atau beach guard dan agensi lain.

"Pemantauan di laut dilakukan bermula semalam hingga Ahad ini. Berdasarkan jadual paras air surut hanya 1 hingga 4 Februari saja paras air cetek antara 0.2 hingga 0.6 meter (m), seperti hari ini (semalam) air surut 0.2 m pada 10.45 pagi tetapi parasnya tidak sama setiap hari, dan sebab itu perlu peka dengan jadual yang dikeluarkan pihak berkenaan.

"Ada segelintir pengunjung tidak memakai jaket keselamatan dan ada yang mendakwa tidak tahu perlu pakai jaket. Nasihat sudah diberikan tetapi boleh dikatakan kapasiti jaket keselamatan agak terhad jika dikira dengan jumlah pengunjung," katanya

Katanya, pengunjung juga dinasihatkan tidak menyeberang pulang ketika air mulai pasang biarpun boleh berenang kerana ia tetap berisiko.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Februari 2022 @ 11:49 AM