Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat menyempurnakan Pelancaran Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Kempas hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat menyempurnakan Pelancaran Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Kempas hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Polis Johor memberi tumpuan terhadap 45 kawasan 'blackspot' berlaku kemalangan di seluruh Johor sepanjang Op Selamat 17 yang bermula dari 28 Januari hingga 6 Februari ini.

Ketua Polis, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ia sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan kemalangan ketika musim perayaan.

"Kita menggunakan konsep penguatkuasaan penuh, melakukan rondaan serta kempen keselamatan bagi mengurangkan kadar kemalangan.

"Tumpuan diberikan kepada kesalahan yang menjurus ke arah kemalangan jalan raya seperti memandu di lorong kecemasan, memotong garisan berkembar, memotong barisan, memandu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat," katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas merasmikan pelancaran Op Selamat Sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Kempas, di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, seramai 240 anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik akan digerakkan melakukan rondaan dan penguatkuasaan di kawasan berkenaan sepanjang operasi berkenaan.

Menurutnya, pihaknya turut menasihatkan pengguna jalan raya untuk mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan dan segera mendapatkan bantuan agensi berkaitan terutamanya di kawasan lebuh raya sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

Beliau berkata, pengguna jalan raya diingatkan tidak membaiki sendiri kenderaan rosak di lorong kecemasan ketika di lebuh raya, sebaliknya segera mendapatkan bantuan pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) atau Plus Malaysia Berhad (PLUS) untuk membantu.

"Bagi memastikan rumah penduduk selamat pula, penduduk perlu melaporkan perancangan cuti kepada polis sebelum pulang ke kampung dengan mengisi borang maklumat balik kampung.

"Borang boleh diperoleh di balai polis berhampiran atau dimuat turun melalui portal rasmi PDRM dan menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol selain pemakluman dengan menghubungi hotline 999.

"Ketua Polis Daerah akan memastikan semua balai menerusi unit kereta peronda (MPV), unit rondaan bermotosikal (URB) serta risikan dan operasi diatur gerak dengan holistik dan sistematik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 3:01 PM