Dr Norlizan (tengah) mengadakan sidang media DVS Laksanakan Penguatkuasaan Pelesenan Aktiviti Membabitkan Haiwan Berkuatkuasa Januari 2022. FOTO SAMADI AHMAD.
Dr Norlizan (tengah) mengadakan sidang media DVS Laksanakan Penguatkuasaan Pelesenan Aktiviti Membabitkan Haiwan Berkuatkuasa Januari 2022. FOTO SAMADI AHMAD.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Sebanyak 13,000 babi yang dikesan mengalami penyakit Demam Babi Afrika (ASF) di Paya Mengkuang, Masjid Tanah, Melaka sudah dimusnahkan olehJabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) setakat semalam.

Ketua Pengarah Veterinar, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor, berkata babi itu membabitkan 19 ladang dari 35 ladang ternakan yang dikesan menghidap penyakit itu di Paya Mengkuang.

Menurutnya, baki 3,000 babi lagi yang dijangkiti virus itu akan dimusnahkan dalam masa terdekat bagi mengelak penularan yang lebih serius.

"Dijangkakan sehingga minggu ketiga (minggu depan) sebanyak 16,000 akan dimusnahkan.

"Usaha untuk memusnahkan haiwan ini bukanlah suatu perkara yang mudah kerana ia dilakukan dengan teliti membabitkan yang positif dijangkiti virus berkenaan," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Regulatori DVS, Dr Mohamad Razali Abdul Razak.

Sebelum ini media melaporkan, kes ASF dikesan di tujuh ladang babi di Paya Mengkuang, Melaka pada penghujung Disember tahun lalu.

Dr Norlizan berkata, setakat ini terdapat 456 ladang babi di seluruh negara membabitkan 1.4 juta ekor babi.

Menurutnya, DVS melaksanakan pemusnahan babi di ladang terjangkit berdasarkan Seksyen 19, Akta Binatang 1953 (Pindaan 2013).

"DVS mendapat kerjasama daripada beberapa jabatan dan agensi kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka.

"Penyakit bawaan babi itu tidak menjangkiti manusia sebaliknya, ia hanya membabitkan haiwan berkenaan sahaja dan haiwan yang dijangkiti masih boleh dimakan dengan syarat dagingnya perlu dimasak dengan menggunakan suhu kepanasan melebihi 60 darjah celcius," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 6:01 PM