Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali
Hazwan Faisal Mohamad


Kuala Lumpur: "Tiada lagi PKP kerana kesannya kepada ekonomi negara adalah terlalu besar". Itu penjelasan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika ditanya sama ada negara akan melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan varian baharu Covid-19.

Beliau turut memberi jaminan bahawa langkah kawalan itu tidak lagi akan dilaksanakan.

Hari ini, Malaysia mencatatkan kes baharu Covid-19 sebanyak 3,684 kes berbanding 3,198 kes yang direkodkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, data terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di Malaysia mencecah 2,798,917 kes setakat ini.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, Malaysia dijangka mampu merekodkan prestasi dagangan melebihi RM2 trilion pada tahun ini, sama seperti yang dicatatkan pada 2021.

Katanya, prestasi dagangan dari Januari hingga November 2021 sudah melepasi RM2 trilion, kali pertama rekod sedemikian pernah dicatatkan oleh negara ini.

Ia adalah satu pencapaian yang luar biasa khususnya eksport negara apabila dunia membuka sempadan, permintaan luaran meningkat dan syarikat tempatan perlu meningkatkan pengeluaran serta produktiviti masing-masing.

"Ini memberi ruang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mendapatkan hasil yang lebih besar dan kita menjangkakan prestasi ini akan berterusan untuk tahun 2022.

"Walaupun cabarannya besar tetapi kita perlu memastikan Malaysia kekal kompetitif. Produk dan perkhidmatan yang hendak kita bekalkan perlu kompetitif, antaranya menerusi penggunaan kaedah berasaskan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

"Perkara ini mesti ditekankan kepada pelabur dan syarikat tempatan sekiranya kita ingin kekal kompetitif pada peringkat antarabangsa," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengenalan NextGen oleh BMW Malaysia di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, Malaysia perlu terus mengekalkan momentum yang ada sekarang untuk tahun ini dan akan datang bagi memastikan prestasi dagangan negara terus berada di atas RM2 trilion.

"Saya percaya prestasi dagangan negara untuk Disember mampu merekodkan kira-kira RM100 bilion, sama seperti bulan sebelumnya.

"Ini menjadikan nilai keseluruhan dagangan negara untuk tahun 2021 kepada RM2.1 trilion dan kita harapkan ia dapat diteruskan untuk tahun ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya sama ada kerajaan akan melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan varian baharu COVID-19, beliau memberi jaminan langkah kawalan itu tidak lagi akan dilaksanakan.

"Tiada lagi (PKP) kerana kesannya kepada ekonomi negara adalah terlalu besar," katanya.

Jabatan Perangkaan Malaysia dalam kenyataannya semalam berkata, eksport Malaysia pada November 2021 meningkat sebanyak RM27.5 bilion atau 32.4 peratus kepada RM112.2 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Sementara itu, jumlah dagangan Malaysia bagi November 2021 bernilai RM205.5 bilion, meningkat 34.9 peratus tahun ke tahun, manakala import menokok 38 peratus kepada RM93.3 bilion.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata eksport lebih tinggi direkodkan bagi kebanyakan negeri iaitu Selangor (RM6.3 bilion), Johor (RM5.3 bilion), Pulau Pinang (RM4.4 bilion), Sarawak (+RM3.1 bilion), Kedah (RM2.1 bilion), Sabah (RM1.8 bilion), Pahang (RM1.6 bilion), Kuala Lumpur (RM1.2 bilion), Melaka (RM904.8 juta), Labuan (RM692.5 juta), Perak (RM254 juta), Negeri Sembilan (RM245.8 juta) dan Perlis (RM11.2 juta).

"Bagaimanapun, eksport menurun di Terengganu (-RM346.6 juta) dan Kelantan (-RM42.5 juta)," katanya dalam Statistik Eksport Import Mengikut Negeri, November 2021.

Beralih kepada prestasi import mengikut negeri, Mohd Uzir berkata import meningkat RM25.7 bilion atau 38 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Import pula, katanya meningkat di Pulau Pinang (RM6 bilion), Johor (RM5.6 bilion), Selangor (RM4.7 bilion), Kedah (RM2.7 bilion), Kuala Lumpur (RM2.2 bilion), Negeri Sembilan (RM1.8 bilion), Sarawak (RM749.8 juta), Perak (RM533.7 juta), Pahang (RM305.5 juta), Sabah (RM260.5 juta), Labuan (RM151.6 juta), Terengganu (RM105.1 juta) dan Perlis (RM22.4 juta).

"Bagaimanapun, import menurun di Melaka (-RM34.9 juta) dan Kelantan (-RM5.7 juta)," katanya.

Mohd Uzir berkata, lima negeri yang mendominasi eksport Malaysia adalah Pulau Pinang (28.2 peratus), Johor (20.6 peratus), Selangor (19 peratus), Sarawak (7.6 peratus) dan Kedah (4.0 peratus).

"Eksport bagi lima negeri ini menyumbang sebanyak 79.4 peratus daripada jumlah eksport Malaysia.

"Sementara itu, bagi import, Selangor kekal sebagai penyumbang utama dengan 25.6 peratus, diikuti oleh Pulau Pinang (23.3 peratus), Johor (20.3 peratus), Kuala Lumpur (7.5 peratus) dan Kedah (7.1 peratus)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 5:27 PM