Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. - FOTO NSTP
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. - FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah perdagangan Malaysia bagi Disember 2022 meningkat 8.6 peratus tahun ke tahun kepada RM236 bilion dengan masing-masing eksport menokok 6.0 peratus kepada RM131.9 bilion manakala import naik 12.0 peratus kepada RM104.1 bilion, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata jumlah perdagangan Malaysia bagi 2022 juga merupakan satu pencapaian baharu dengan mencecah RM2.8 trilion.

Eksport negeri-negeri pada Disember 2022 meningkat sebanyak RM7.5 bilion atau 6.0 peratus berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, eksport lebih tinggi direkodkan bagi kebanyakan negeri iaitu Johor (+RM4.3 bilion), Sarawak (+RM2.2 bilion), Selangor (+RM1.4 bilion), Wilayah Persekutuan (+RM1.4 bilion), Negeri Sembilan (+RM264.1 juta), Perak (+RM230.1 juta) dan Kedah (+RM184.0 juta).

Negeri-negeri lain seperti Melaka turut mencatat eksport lebih tinggi iaitu RM97.9 juta, Kelantan (+RM92.9 juta), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+RM64.8 juta) dan Perlis (+RM14.3 juta).

Bagaimanapun, eksport susut di negeri seperti Sabah iaitu RM1.7 bilion, Pahang (-RM563.3 juta), Terengganu (-RM531.0 juta) dan Pulau Pinang (-RM93.3 juta).

Mengulas prestasi import mengikut negeri, Mohd Uzir berkata import pada Disember 2022 meningkat RM11.2 bilion atau 12.0 peratus berbanding tempoh sama pada 2021, dipacu oleh peningkatan import di kebanyakan negeri seperti Johor (+RM5.1 bilion), Selangor (+RM2.7 bilion) dan Melaka (+RM1.8 bilion).

"Antara lima negeri pengeksport utama, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 30.8 peratus dan diikuti oleh Johor (19.2 peratus), Selangor (17.8 peratus), Sarawak (9.1 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (4.7 peratus)," katanya.

Bagi import pula, Selangor muncul sebagai penyumbang utama dengan 27.2 peratus dan diikuti oleh Pulau Pinang (21.9 peratus), Johor (20.8 peratus), Kuala Lumpur (6.6 peratus) dan Kedah (5.8 peratus).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 1:21 PM