ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan kanak-kanak lelaki setengah yang terperangkap dalam kereta. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan kanak-kanak lelaki setengah yang terperangkap dalam kereta. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Seorang kanak-kanak berusia setahun enam bulan yang terperangkap dalam kereta di Persiaran Diana Taman Sri Pinang di sini diselamatkan bomba, petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson Mohd Hairul Izam Mazelan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2 petang dan sampai ke lokasi lapan minit kemudian.

Menurutnya, operasi ini diketuai oleh Mohd Harizan Mohd Najib bersama lapan anggota bagi operasi menyelamat bayi yang terperangkap dalam kereta.

"Sebaik pasukan Bomba sampai di lokasi kejadian, ternyata ada kanak-kanak yang terperangkap dalam kereta Proton Pesona di pekarangan rumah keluarganya.

"Kami difahamkan kanak-kanak ini, Muhammad Niyaz Naim Mohd Khairul Nadzmi yang berusia setahun enam bulan masuk ke dalam kereta dan kereta itu terkunci secara automatik (auto lock)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, bomba membuka pintu kereta dengan menggunakan peralatan khas dan kusyen udara untuk buka pintu.

"Pintu kereta dapat dibuka dan kami dapat mengeluarkan mangsa dengan selamat tanpa sebarang kecederaan dan kerosakan pada kenderaan.

"Orang ramai atau ibu bapa harus berhati-hati kerana kes seperti ini boleh membahayakan nyawa anak mereka sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 11:57 AM