DATUK Peter Anthony. FOTO arkib NSTP
DATUK Peter Anthony. FOTO arkib NSTP
Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony melantik peguam baharu bagi mengendalikan kes dokumen palsu berhubung kontrak penyelenggaraan sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dihadapinya.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika prosiding sambung bicara bela diri di hadapan Hakim Azura Alwi.

Wan Shaharuddin berkata, pihak pembelaan bersetuju kehadiran Anthony pada prosiding hari ini dikecualikan dengan alasan pihak pembelaan memohon untuk melapangkan tarikh perbicaraan.

"Ini kerana tertuduh baru sahaja melantik peguam S Devanandan dan Datuk D Senthinathan untuk bertindak bagi pihaknya," katanya.

Untuk rekod, sebelum ini peguam Munawar Kabir Mohd Zainal Abidin bertindak mewakili tertuduh.

Sehubungan itu, perbicaraan kes berkenaan hari ini dilapangkan.

Pada prosiding itu, Wan Shaharuddin berkata, pihaknya belum menerima pernyataan pembelaan sebagaimana yang dijanjikan dalam prosiding terdahulu.

Mendengar perkara itu, Devanandan berkata, pihaknya memberi akujanji akan menyerahkannya dalam tempoh seminggu kerana belum bertemu dengan Anthony dan perlu mendapatkan arahan daripada anak guam terlebih dahulu.

Wan Shaharuddin turut memohon supaya pembelaan menyerahkan pernyataan saksi seminggu sebelum prosiding.

Mahkamah kemudian menetapkan 9, 10, 16, 17 dan 18 Februari depan untuk perbicaraan kes.

Mengikut pertuduhan, Peter, 50, didakwa melakukan sesuatu pemalsuan kepada surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat itu dengan niat ia digunakan untuk tujuan menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada YAB Perdana Menteri, tingkat lima, bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya di antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Peter didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 1:29 PM