FOTO hiasan
FOTO hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Seremban: Semua taman eko rimba dan kawasan pendakian dalam hutan simpanan kekal di Negeri Sembilan ditutup berkuatkuasa hari ini susulan bencana banjir yang berlaku.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Saleh Awaluddin berkata, kerajaan Negeri Sembilan mengarahkan semua hutan lipur ditutup sementara.

"Ia memandangkan keadaan cuaca yang berterusan hujan manakala untuk kes di Hutan Lipur Jeram Toi, Jelebu pihak jabatan sedang menilai kerosakan disebabkan kejadian tanah runtuh yang merosakkan beberapa infrastruktur sedia ada.

"Orang ramai dinasihatkan tidak mendekati semua kawasan hutan lipur dan kawasan pendakian buat masa ini sehingga dimaklumkan oleh pihak jabatan," katanya hari ini.

Katanya, penutupan itu berikutan terdapat risiko seperti tanah runtuh, pokok tumbang dan kepala air.

Saleh berkata, sebelum ini jabatan sudah mengambil tindakan menutup Hutan Simpan Kenaboi atas faktor cuaca selain semua kawasan seperti gunung, bukit dan hutan yang memerlukan permit untuk memasukinya turut ditutup.

"Tarikh pembukaan semula semua aktiviti berkaitan akan dimaklumkan selepas ini," katanya.

Semalam tular di Facebook gambar terkini di Hutan Lipur Jeram Toi, Jelebu yang mengalami kerosakan akibat banjir susulan hujan lebat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 10:51 AM