KERETA dipandu mangsa terbakar selepas terbabit kemalangan. FOTO ihsan bomba
KERETA dipandu mangsa terbakar selepas terbabit kemalangan. FOTO ihsan bomba
Juwan Riduan


Keningau: Seorang lelaki warga emas rentung selepas kereta dipandu bertembung trak pikap di Jalan Sook-Nabawan di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, Wahab Marjuki, 61, dipercayai tersepit di dalam Proton Saga yang terbakar akibat kemalangan berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.31 pagi

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran berjaya dipadam oleh orang awam dan hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemukan seorang lelaki rentung dalam Proton Saga berkenaan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, mangsa dikeluarkan oleh pasukan operasi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, pemandu kenderaan Isuzu DMax yang turut mengalami kecederaan ringan dihantar oleh orang awam ke hospital.

"Operasi operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.29 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 1:24 PM