Nurul Hidayah Bahaudin


Kuching: Proses mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 di semua pusat pengundian berjalan lancar setakat jam 12 tengah hari tadi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, situasi di semua tempat mengundi adalah terkawal dan tenang.

"Setakat ini, proses mengundi berjalan dengan lancar di semua pusat pengundian di seluruh negeri.

"Polis memberi jaminan menjaga keselamatan awam. Justeru itu, orang ramai dinasihatkan supaya keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Aidi memaklumkan seramai 7,434 pegawai dan anggota ditempatkan di 1,866 pusat mengundi di seluruh negeri pada hari pengundian yang berlangsung hari ini.

PENGUNDIAN di SJK (C) Chuang Hua di Kuching. FOTO Aizuddin Saad
PENGUNDIAN di SJK (C) Chuang Hua di Kuching. FOTO Aizuddin Saad

Aidi dilaporkan berkata, pihaknya juga dibantu oleh 3,142 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk menjaga semua pusat pengundian berkenaan yang membabitkan 3,555 saluran.

Katanya, polis juga menubuhkan 47 pasukan Op Cantas dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan 109 pasukan Op Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di semua daerah.

Terdapat juga empat pasukan pemantau udara menggunakan helikopter dan dron di seluruh negeri, 47 pasukan Light Strike Force (LSF), empat pasukan Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU) dan pasukan lain termasuk pasukan pencegahan jenayah yang bersiap sedia di setiap daerah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 12:39 PM