DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan antara kenderaan motor lori digunakan suspek sindiket penyeludupan rokok. FOTO Ahmad Ismail
DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan antara kenderaan motor lori digunakan suspek sindiket penyeludupan rokok. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail.


DUA serbuan dilakukan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua di daerah ini pada Selasa dan Rabu lalu menyaksikan lebih dua juta batang rokok seludup bernilai lebih RM3 juta dirampas.

Rampasan itu sekali gus menjadi kejayaan terbesar pihak berkuasa dalam membanteras kegiatan penyeludupan rokok seludup di negeri ini setakat ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, rampasan pertama melalui serbuan yang dilakukan dua pasukan PPM dari Tampoi dan Muar kira-kira jam 2 petang pada Selasa di pekan Rawang, Tangkak.

Katanya, serbuan hasil maklumat dan risikan itu berjaya mengesan sebuah lori dipandu seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun.

“Pemeriksaan ke atas lori berkenaan menemukan 212 kotak rokok mengandungi lebih dua juta batang rokok seludup dengan nilai RM3.1 juta

“Susulan soal siasat ke atas suspek pertama, polis berjaya mengesan sebuah lagi lori dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 28 tahun, kira-kira jam 3 petang di sebuah ladang kelapa sawit di Bukit Pasir.

“Pemeriksaan ke atas lori itu menemukan enam kota berisi kira-kira 6,000 batang rokok seludup bernilai lebih RM200,000,” katanya dalam sidang akhbar di Pangkalan Polis Marin Muar di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zahrudin Rasip; Timbalan Komander PPM Wilayah Dua, Superintendan Noor Azman Jamal dan Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat.

Ayob berkata, kedua-dua lelaki terbabit ditahan manakala kenderaan dipandu mereka turut dirampas bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967.

Katanya, suspek pertama direman selama 12 hari dan suspek kedua direman selama tiga hari.

Dalam pada itu katanya, bermula Januari sehingga semalam PPM Wilayah Dua berjaya mencatat lapan tangkapan berkaitan penyeludupan rokok di negeri ini dengan anggaran tiga juta batang rokok berjaya dirampas

“Tangkapan membabitkan dua rakyat tempatan dan enam warga asing yang dilakukan sekitar perairan Muar sehingga tambak Johor.

“Kami percaya semua rokok berkenaan dibawa masuk ke negara melalui bahagian utara semenanjung untuk diedarkan di bahagian barat Johor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 2:24 PM