GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Siapa yang menaikkan harga? Demikian persoalan Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Nadzim Johan susulan tindakan penternak, pemborong dan peniaga yang dikatakan masing-masing menuding jari mengenai kenaikan harga ayam.

Beliau turut mempersoalkan di mana agensi kerajaan yang ditugaskan memantau harga barang dan menghapuskan orang tengah.

Menurutnya, sehingga kini tidak ada tindakan proaktif daripada pihak kerajaan yang menampakkan keberkesanan walaupun harga ayam mentah di negara ini dikesan melonjak naik sejak Oktober lalu.

"Perkara ini lebih merunsingkan apabila kenyataan penternak ayam yang mendakwa mereka tidak menaikkan harga ayam dan peruncit pula mendakwa harga ayam meningkat lebih 40 peratus sejak akhir-akhir ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Nadzim berkata, PPIM mahu pihak kerajaan memberi satu penyelesaian yang berkesan.

Katanya, alasan seperti ekonomi dunia tidak menentu atau masalah penawaran dan permintaan yang tidak seimbang bukan lagi relevan pada masa kini.

Beliau berkata, rakyat amat terkesan dengan harga barang melonjak naik dan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 4:30 PM