Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my


Port Dickson: Basikal tua atau basikal klasik sudah biasa dibuat pertunjukan kayuhan, tetapi jarang dilakukan dalam kayuhan jarak jauh.

Bagaimanapun, seramai 25 ahli Kelab Basikal Tuo Seremban (KBTS) melakukan Kayuhan Lautan Biru edisi kedua sejauh 57 Kilometer daripada Ampangan-Rantau-Port Dickson, semalam.

Pengerusi Kayuhan Lautan Biru, Mohd Ariff Bidin berkata, ia adalah kali kedua ahli KBTS melakukan kayuhan kali pertama dua tahun lalu.

"Kalau ikut kalendar kelab, kami akan buat kayuhan setiap tahun ke Port Dickson, tetapi kerana masalah pandemik Covid-19, ia tertangguh tahun lalu sebelum direalisasikan bermula semalam dan akan balik ke Seremban, hari ini.

"Untuk kayuhan kali ini, 25 orang daripada keseluruhan 75 ahli KBTS menyertainya," katanya ketika ditemui di Dataran Kemang, Port Dickson.

Antara peserta yang menyertai Kayuhan Lautan Biru daripada Ampangan, Seremban - Rantau hingga ke Port Dickson oleh ahli Kelab Basikal Tuo Seremban (KBTS) ketika ditemui di Dataran Kemang, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Antara peserta yang menyertai Kayuhan Lautan Biru daripada Ampangan, Seremban - Rantau hingga ke Port Dickson oleh ahli Kelab Basikal Tuo Seremban (KBTS) ketika ditemui di Dataran Kemang, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA

Beliau berkata, bagi memudahkan pergerakan dan kelancaran program, mereka diiringi sebuah lori serta sebuah motosikal untuk membantu peserta kayuhan jika ada keperluan.

Menurutnya, sepanjang hampir 10 jam berkayuh dan berhenti rehat di beberapa lokasi sesuai, mereka akhirnya selamat tiba di destinasi.

Katanya, kayuhan basikal lama memerlukan kerjasama sepenuhnya kerana kami bukan mahu berlumba, sebaliknya menyemarakkan semangat kenegaraan bagi mengingati sejarah orang kampung yang menggunakan basikal tua sebagai kenderaan pada zaman dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 7:32 PM