KPDNHEP Pulau Pinang ketika melakukan pemeriksaan ke atas Restoran Hameediyah di Lebuh Campbell di sini. FOTO Zuhainy Zulkiffli
KPDNHEP Pulau Pinang ketika melakukan pemeriksaan ke atas Restoran Hameediyah di Lebuh Campbell di sini. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang sudah mengeluarkan notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Percatutan (Akhap) 2011 kepada Restoran Hameediyah di Lebuh Campbell di sini, hari ini.

Notis itu diberi selepas penguat kuasa agensi berkenaan menjalankan pemeriksaan ke atas premis terbabit susulan tular dakwaan pelanggan mengenai sotong goreng yang dijual pada harga tidak munasabah.

Pengarah KPDNHEP negeri Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, pemilik restoran perlu menjawab notis berkenaan dalam tempoh dua hari atau sehingga 26 November ini, bagi mengelak sebarang tindakan.

"Ia dikeluarkan kepada pengusaha restoran bagi mendapatkan maklumat, harga kos dan jualan sotong goreng berkenaan.

"Menerusi pemeriksaan itu, kita sudah mengambil rakaman percakapan peniaga mengenai isu tular berkenaan bagi membantu siasatan.

"Sekiranya maklum balas yang diminta gagal dikemukakan, pengusaha restoran boleh dikenakan tindakan mengikut Akhap," katanya pada kenyataan.

Menurut Mohd Ridzuan, kegagalan mematuhi arahan itu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 21(5) dan boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 57 Akhap 2011.

Sementara itu, Pengarah restoran terbabit, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim, 30, ketika ditemui berkata, dia sedia maklum mengenai notis itu dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

Terdahulu, resit pembelian sotong goreng itu yang dijual pada harga RM100 bagi dua ekor, tular di media sosial sejak semalam dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai.

Muhammad Riyaaz berkata, pelanggan terbabit sudah maklum mengenai harganya pada paparan skrin ketika mahu membayar.

"Pelanggan mempunyai dua pilihan sama ada menukarnya dengan lauk yang lain atau boleh batalkan pembelian," katanya.

Berita berkaitan

  • Tular 2 sotong goreng RM100, pelanggan boleh tukar lauk [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 8:50 PM