Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Siasatan ke atas hidangan sotong goreng yang dijual pada harga RM100 di restoran nasi kandar di Lebuh Campbell di sini, sudah selesai.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, keputusan itu kemudian akan dirujuk kepada KPDNHEP di Putrajaya bagi dipertimbangkan dan tindakan selanjutnya.

"Siasatan terhadap harga sotong goreng itu sudah selesai cuma menunggu pertimbangan pihak kementerian.

"Keputusan akan dirujuk dahulu ke (KPDNHEP) Putrajaya untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pemeriksaan Op Pasar (sayur-sayuran) dan Op Menu di Pasar Awam Bayan Baru dan Pasaraya Sunshine Square, di sini, hari ini.

Bagaimanapun Mohd Ridzuan enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan pemilik restoran terbabit melanggar akta pencatutan berhubung harga sotong goreng berkenaan.

Terdahulu Harian Metro melaporkan dua sotong goreng dijual pada harga RM100 yang tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai.

MOHD Ridzuan Ab Ghapar ketika hadir melakukan pemeriksaan Ops Pasar (Sayur 2) di Kompleks Pasar Awam Bayan Baru dan Pasaraya Sunshine Bayan Baru di sini, hari ini. FOTO Mikail Ong
MOHD Ridzuan Ab Ghapar ketika hadir melakukan pemeriksaan Ops Pasar (Sayur 2) di Kompleks Pasar Awam Bayan Baru dan Pasaraya Sunshine Bayan Baru di sini, hari ini. FOTO Mikail Ong

Sementara itu Mohd Ridzuan berkata, pemilik restoran di Kepala Batas yang menjual kailan ikan masin berharga RM18 perlu mengemukakan maklum balas Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) selewat-lewatnya pada hari ini.

"Notis berkenaan dikeluarkan pada 28 November lalu dan kepada pemilik restoran perlu mengemukakan maklum balas selewat-lewatnya pada hari ini

"Sekiranya gagal mengemukakan maklumat mengenai harga itu, satu lagi notis akan dikeluarkan kepada pemilik restoran terbabit," katanya lagi.

Dalam perkembangan Op Menu, Mohd Ridzuan berkata, daripada 372 restoran dan kedai makan yang diperiksa, sebanyak dua kes dengan nilai kompaun RM500 sudah dikeluarkan.

Katanya pemeriksaan itu dilakukan bagi pematuhan penandaan harga dan tempoh sah penentusahan alat timbang dan sukat.

"Pemilik restoran dan kedai makan perlu memastikan penandaan tanda harga pada menu makanan dan penggunaan alat timbang yang sah tempoh penentusahan bagi membantu pelanggan mengetahui harga dan berat ketika membuat tempahan makanan," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 2:38 PM