Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Penduduk di Rantau Panjang dinasihatkan tidak lalai dengan penurunan paras Sungai Golok kerana hujan berterusan dijangka melanda bermula hari ini dan esok berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Tinjauan ke Sungai Golok mendapati paras sungai semakin menurun berbanding beberapa hari lalu, namun keadaan cuaca mendung dengan taburan hujan sedikit perlahan sejak tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang Imran Ismail berkata, hasil pemantauan secara berkala oleh pihaknya mendapati paras semakin menurun di bawah tahap waspada dengan bacaan bawah lapan meter.

Katanya, rekod paras air Sungai Golok menunjukkan tahap waspada pada bacaan tujuh meter, manakala amaran pula lapan meter diikuti paras bahaya sebanyak sembilan meter.

IMRAN (kanan) bersama anggotanya meninjau di Sungai Golok hari ini, mendapati paras sungai semakin menurun berbanding beberapa hari lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
IMRAN (kanan) bersama anggotanya meninjau di Sungai Golok hari ini, mendapati paras sungai semakin menurun berbanding beberapa hari lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Melihat penurunan paras sungai bagaikan memberi nafas lega buat penduduk dan juga pasukan keselamatan tetapi akur bahawa kemungkinan untuk hujan lebat kembali melanda boleh berlaku bila-bila masa sahaja.

"Hampir setiap tahun Rantau Panjang menerima banjir, bezanya antara bah besar atau kecil sahaja. Bagaimana pun, penduduk disarankan sentiasa berwaspada," katanya ketika ditemui selepas memantau paras air Sungai Golok di pangkalan haram Kuala Jambu, di sini, hari ini.

Sementara itu, penduduk, Azhar Kamarudin, 45, mengakui masih berwaspada dengan keadaan air sungai walaupun sudah menunjukkan penurunan kerana biasanya sudah menjadi 'adat' bah berlaku sebanyak beberapa gelombang.

"Dengan hanya hujan tanpa henti selama dua hari, penempatan saya berdekatan Sungai Golok akan dinaiki air dan biasanya kami mengambil langkah awal berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan.

"Keadaan sekarang masih terkawal selain operasi perniagaan di pekan Rantau Panjang juga berjalan seperti biasa kerana semua jalan utama masih boleh dilalui, cuma kami sentiasa bersiap siaga," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 3:59 PM