MOHD Kamarudin (kanan) memberi penerangan mengenai jenayah komersil. FOTO Hairul Anuar Rahim
MOHD Kamarudin (kanan) memberi penerangan mengenai jenayah komersil. FOTO Hairul Anuar Rahim
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Tahap kesedaran masyarakat berkaitan penipuan dalam talian dilihat perlu penambahbaikan susulan jumlah kes yang direkodkan semakin meningkat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, peningkatan itu dilihat menerusi jumlah kes yang direkodkan pada tahun ini berbanding beberapa tahun lalu.

"Sebanyak 17,537 kes berkaitan penipuan dalam talian membabitkan belian dalam talian, pinjaman tidak wujud, pelaburan, Macau Scam, African Scam dan Business Email Conpromise (BEC) direkodkan membabitkan RM449 juta dilaporkan bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu.

"Jumlah itu meningkat sebanyak 428 kes berbanding 17,109 kes yang direkodkan bagi tempoh sepanjang tahun lalu dengan kerugian sebanyak RM509 juta.

"Jumlah kes yang direkodkan pada tahun ini (sehingga Oktober lalu) dijangka akan meningkat sekiranya tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat tidak ditingkatkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program High Profile Policing (HPP) sempena Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Jenayah Dalam Talian) di sebuah pusat beli-belah di Bandar Sunway, di sini, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, perlaksanaan Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Jenayah Dalam Talian) dilihat mendapat respons yang baik dalam kalangan masyarakat sejak dilancarkan pada 8 November lalu.

"Terdapat beberapa program dijalankan dalam program ini termasuk Khutbah Jumaat yang diadakan semalam selain program HPP seumpama ini di pusat tumpuan orang ramai.

"Hasil pelaksanaan kempen ini, kami akan membuat kajian mengenai keberkesanan program yang diadakan dalam memberi impak kepada masyarakat pada Disember nanti atau Januari tahun depan.

"Jika pelaksanaannya kurang berkesan, kita akan tambah baik program ini supaya ia dapat memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kaedah mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan dalam talian," katanya.

Beliau berkata, masyarakat perlu sedar mengenai peranan mereka dalam membendung jenayah itu terutamanya membabitkan isu keldai akaun.

"Apa yang penting adalah masyarakat perlu sedar mengenai tanggungjawab mereka dalam menjaga akaun (bank) masing-masing dengan tidak menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan.

"Jangan sesekali memberi akaun anda kepada orang lain kerana ia boleh disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab termasuk sindiket.

"Masyarakat perlu sedar bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pemilik akaun sekiranya ia digunakan oleh sindiket meskipun mereka tidak mengetahui mengenainya (penggunaan akaun bank oleh sindiket)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 5:00 PM