GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Zuliaty Zulkiffli


Kubang Pasu: Mangsa banjir di daerah ini berkurangan kepada 43 mangsa daripada 10 keluarga apabila dua daripada pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup sepenuhnya hari ini.

Jumlah itu dilaporkan setakat jam 4 petang hari ini dan menurun berbanding 64 mangsa daripada 14 keluarga tengahari tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff, dua PPS yang ditutup adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Binjal dan PPS Dewan Kampung Nongka yang ditutup pada jam 12 tengahari tadi.

Beliau berkata, bagaimanapun PPS di Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang masih kekal seramai 43 mangsa daripada 10 keluarga.

"Kesemua mangsa di PPS berkenaan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas paras air surut.

"Setakat ini hanya tinggal satu PPS masih beroperasi di daerah ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, hujan lebat melebihi dua jam bermula jam 3.30 petang semalam sebab menyebabkan paras air sungai berhampiran kawasan kampung berkenaan meningkat.

Antara lokasi yang dinaiki air adalah di Jalan Changlun-Jitra (hadapan Taman Jelutong, Changlun), Taman Sri Menanti, Taman Pertama, Taman Resak dan Jalan Sintok di Mukim Temin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 4:49 PM