GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Oleh Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Bahagian Kawalan Kredit Komuniti, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menahan 11 individu selepas menyerbu empat pajak gadai haram yang beroperasi di Selangor dan Johor bulan lalu membabitkan rampasan bernilai lebih RM100,000.

Ketua Siasatan & Pemantauan Bahagian Kawalan Kredit Komuniti KPKT, Asisten Komisioner Mohd Fauzki Hassan berkata, tiga daripada pajak gadai terbabit beroperasi tanpa lesen di Selangor, manakala satu lagi di Masai, Johor.

Katanya, serbuan dibuat hasil maklumat orang ramai serta risikan pihaknya berjaya merampas wang tunai RM13,437; barang kemas yang digadai seperti gelang, rantai gelang, loket dan cincin emas yang dianggarkan bernilai RM99,885, alat penimbang emas, cecair asid penguji emas, satu set komputer dan surat menyerupai surat pajak gadai.

Selain itu, 11 individu turut ditahan bagi membantu siasatan bawah Seksyen 7(2) Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 (Akta 81).

"Keempat-empat premis ini mempunyai lesen perniagaan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing namun tidak mempunyai lesen untuk beroperasi sebagai pajak gadai.

"Mereka menawarkan kepada orang ramai untuk buat pajakan dengan kadar keuntungan yang lebih rendah daripada pajak gadai berlesen dan satu resit dikeluarkan untuk membuktikan barang itu digadai di kedai itu.

"Orang ramai yang ingin menebus barang kemas masing-masing perlu menelefon kedai pajak gadai ini sehari sebelum tarikh mereka datang membuat tebusan.

"Kadar faedah yang dikenakan juga lebih tinggi berbanding pajak gadai yang berlesen," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Fauzi berkata, kedai pajak gadai tidak berlesen ini mengenakan kadar faedah antara 2 hingga 5 peratus sebulan berbanding kadar 2 peratus yang ditetapkan dalam Akta 81.

Beliau berkata, keempat-empat premis berkenaan dipercayai beroperai antara dua hingga empat tahun.

Katanya, barang kemas yang digadai oleh pengguna tidak disimpan di premis pajak gadai terbabit, sebaliknya ia disimpan di rumah pemilik premis pajak gadai, tidak seperti peraturan mengikut Akta 81.

Susulan operasi itu, Fauzi berkata, tiga individu akan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya manakala seorang lagi akan didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru dalam tempoh terdekat.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan untuk menggunakan aplikasi i-Gadaian untuk mencari nama pemegang pajak gadai yang berlesen dan didaftarkan dengan KPKT di seluruh negara.

Sementara itu, Fauzi berkata, KPKT turut mengesan iklan penawaran pinjaman oleh 'scammer' yang menyamar sebagai Kredit Komuniti Berlesen bawah kementerian itu.

Beliau berkata, pihak itu dikesan menyiarkan iklan menggunakan laman sosial termasuk Facebook, Tiktok dan Instagram termasuk yang menggunakan lambang jata negara, KPKT dan logo Kredit Komuniti dalam iklan yang disiarkan.

Pada masa sama, Fauzi mengingatkan orang ramai bahawa transaksi Kredit Komuniti hanya boleh dijalankan di premis berdaftar saja dan bukan secara dalam talian seperti diiklankan syarikat pemberi pinjaman tidak berlesen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 3:37 PM