ANGGOTA APM melakukan pemantauan di kawasan rumah yang terjejas akibat banjir. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA APM melakukan pemantauan di kawasan rumah yang terjejas akibat banjir. FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Sik, malam tadi, untuk menempatkan tujuh mangsa banjir daripada dua keluarga.

PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Sik dibuka pada 10 malam dengan menempatkan seramai dua mangsa daripada satu keluarga, manakala PPS SK Chepir dibuka jam 10.30 malam dengan menempatkan seramai lima mangsa daripada sebuah keluarga.

Ini berikutan paras air meningkat di kediaman penduduk di daerah itu susulan hujan lebat yang melanda petang semalam.

Ia menjadikan jumlah PPS di negeri ini bertambah menjadi 12 buah yang menempatkan keseluruhan mangsa banjir seramai 840 mangsa daripada 227 keluarga di lima daerah seperti Kota Setar, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pendang dan Sik.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff, ia menjadikan jumlah mangsa banjir di Kedah bertambah iaitu seramai 840 orang berbanding 833 mangsa yang dilaporkan pada jam 12 tengah malam tadi.

"Daerah Kota Setar mencatatkan jumlah mangsa iaitu 543 mangsa daripada 149 keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 8:55 AM