Bonnie (tengah) terima insentif RM500.000.
Bonnie (tengah) terima insentif RM500.000.
Melvin Joni


Kuching: Bonnie Bunyau Gustin dan Jong Yee Khie, dua jaguh angkat berat Sarawak yang memenangi pingat pada kejohanan Paralimpik Tokyo 2020 masing-masing menerima insentif RM500,000 serta RM300,000 daripada kerajaan negeri hari ini.

Untuk rekod, Bonnie memperoleh pingat emas manakala Yee Khie pingat perak pada temasya itu.

Insentif disampaikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia.

Ia turut disaksikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Abang Johari berkata, insentif itu adalah penghargaan kerajaan negeri atas kejayaan mereka mengharumkan nama Sarawak di peringkat antarabangsa.

"Saya berharap insentif ini akan memberi galakan kepada atlet lain untuk mencapai kejayaan lebih tinggi pada masa depan," katanya.

Justeru, beliau berharap Bonnie dan Yee Khie turut menempa kejayaan pada kejohanan dunia di Georgia, Russia.

Pada masa sama, Abang Johari berkata, kerajaan negeri akan terus memberi segala sokongan dalam pembangunan sukan termasuk menaik taraf kemudahan sukan.

"Kita komited untuk terus mengesan bakat baru sama ada dalam sukan paralimpik mahupun olimpik.

"Kita ada sekolah sukan yang boleh melatih atlet yang kita banggakan," katanya.

Menjelas lanjut, beliau berkata, ia adalah strategi Sarawak di bawah dua kementerian iaitu Kementerian Belia dan Sukan bersama-sama Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak dalam mengenal-pasti bakat serta potensi atlet.

gambar:

1- Abang Johari (tengah) bersama-sama Bonnie (dua kiri), Yee Khie (dua kanan), Karim (kiri) dan Fatimah (kanan) pada majlis penyerahan insentif di Wisma Bapa Malaysia hari ini. STR/ MELVIN JONI

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 6:10 PM