Lelaki yang ditemui meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik di sebuah premis Industri di Bandar Baru Mergong. FOTO IHSAN BOMBA
Lelaki yang ditemui meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik di sebuah premis Industri di Bandar Baru Mergong. FOTO IHSAN BOMBA
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang kontraktor yang dikatakan sedang melakukan pendawaian elektrik mati terkena renjatan elektrik di sebuah premis industri di Jalan Perusahaan 9, Bandar Baru Mergong di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian jam 4.09 petang.

"Operasi diketuai Zulkifli Md Isa bersama tujuh anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar.

"Tiba di lokasi, kami dapati seorang lelaki berusia 60-an berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di hadapan sebuah premis industri.

"Mangsa adalah kontraktor yang dilantik pengurusan premis itu untuk melakukan tugas di lokasi berkenaan," katanya pada kenyataan.

Mohamadul Ehsan berkata, mangsa dikenali sebagai Ooi Cheng Siong, 59, dan disahkan mati di lokasi oleh anggota perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mayat kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 6:34 PM