Izad Thaqif Hassan

Gurun: "Isteri adalah amanah Allah SWT kepada saya," itu jawapan diberikan Mat Zaini Johari, 41, ketika ditanya pengalaman berkongsi hidup bersama pasangannya, Norliza Husain yang menghidap kanser Fibromotosis iaitu ketumbuhan yang menyebabkan tulang kaki kiri wanita terbabit reput.

Sebalik jawapan ringkas itu, tiada siapa tahu pengorbanan besar ditempuh lelaki pendiam serta murah dengan senyuman berkenaan yang sentiasa ada di sisi isteri tercinta ketika wanita terbabit terlantar selama dua bulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan kerana menjalani pembedahan kedua-dua kakinya pada 2015 lalu.

Pembedahan dibuat bagi menyelamatkan kaki kiri Norliza daripada dipotong dan untuk itu, tulang kaki kanannya terpaksa diambil.

Bermula detik itu, lelaki tabah terbabit yang baru enam bulan melangsungkan perkahwinan mula diuji apabila dia terpaksa mengambil cuti tanpa gaji untuk mengurus segala keperluan Norliza seorang diri ketika menemaninya di wad hospital berkenaan.

Dengan hanya beralaskan tikar dan sebiji bantal, Mat Zaini akan tidur di lantai bersebelahan katil isteri demi memastikan wanita terbabit tidak kesepian dan juga untuk menemani Norliza sekiranya mahu ke bilik air atau sebagainya.

Norliza menemani Mat Zaini ketika menjual burger di kedai mereka walaupun kesihatannya tidak mengizinkan. FOTO Izad Thaqif Hassan
Norliza menemani Mat Zaini ketika menjual burger di kedai mereka walaupun kesihatannya tidak mengizinkan. FOTO Izad Thaqif Hassan

Walaupun mereka kini hanya tinggal dalam pondok kecil dikelilingi kebun getah serta hutan namun pasangan suami isteri ini tetap hidup bahagia dan kasih sayang Mat Zaini terhadap Norliza tidak pernah pudar.

Pondok kecil tidak berbilik di Kampung Sungai Rotan, dekat sini itu disewa dengan harga RM100 sebulan dan asalnya dipenuhi lalang serta semak samun namun kerana sikap ringan tulang Mat Zaini, dia membersihkan kawasan terbabit yang turut dihiasi dengan pasu bunga.

Malah, kerajinannya demi mencari rezeki wang bagi menampung kos perbelanjaan berulang alik untuk rawatan susulan isteri di HUSM, dia sanggup bangun seawal pagi untuk menoreh getah di kebun belakang pondok mereka.

Berkongsi kisah hidup mereka, Norliza berkata dia dan suami sebenarnya saling mengenali sejak belajar di sekolah rendah hingga menengah namun berada dalam kelas berlainan dan tidak pernah bertegur sapa.

"Mungkin kerana jodoh, kami bertemu pada tahun 2007 ketika bekerja di sebuah kilang namun suami berhenti kerana mendapat pekerjaan lain bagaimanapun hubungan kami tidak terputus kerana saling bertanya khabar dan ketika itu kaki saya sudah sakit selepas menjalani beberapa pembedahan.

"Walaupun tahu saya sakit, namun suami tetap menyatakan hasrat mahu melamar saya sebagai isteri dan kami akhirnya berkahwin pada Februari 2008," katanya yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 21 tahun.

Norliza dan Mat Zaini (kiri) dan kedai burger diusahakan Mat Zaini bagi mendapatkan wang untuk rawatan perubatan isterinya. FOTO Izad Thaqif Hassan
Norliza dan Mat Zaini (kiri) dan kedai burger diusahakan Mat Zaini bagi mendapatkan wang untuk rawatan perubatan isterinya. FOTO Izad Thaqif Hassan

Menurutnya, terpaksa mengambil cuti sakit selama dua tahun kerana tidak boleh berjalan selepas pembedahan sebelum diberhentikan kerja sebagai operator kilang.

"Saya juga perlu menjalani rawatan susulan setiap dua minggu dalam tempoh dua tahun dan bagi mencari pendapatan sampingan untuk menampung kos sepanjang perjalanan ke HUSM itu, suami turut menjual burger namun kami sekali lagi diuji apabila dia tidak mempunyai pekerjaan tetap selepas kontrak di tempat kerjanya tamat.

"Pernah suatu ketika, ibu terpaksa memberi syiling dikumpulnya yang kemudian ditukar sebaik tiba di sebuah bank di Kelantan sebelum pulang dengan hanya mempunyai RM30 ketika itu," katanya yang berterima kasih kepada ahli keluarga, saudara serta keluarga mentua yang banyak membantu mereka.

Menurutnya, dia dan suami berpindah ke pondok di kawasan kebun getah terbabit hampir tiga tahun lalu selepas disaran ibu saudaranya yang turut tinggal di kawasan itu.

"Saya dan suami cuba berniaga burger di hadapan rumah walaupun pada mulanya sukar kerana tiada siapa tahu kawasan ini yang dikelilingi hutan.

"Mujur ada pelanggan tetap sebelum ini sanggup datang mencari burger yang dijual dan ada antara mereka memberi sumbangan dengan memesan serta meminta kami mengagihkannya secara percuma kepada orang ramai," katanya.

Katanya, dia amat terharu kerana suami sentiasa ada disisi dan masih terkenang saat lelaki dicintainya itu menangis sebaik dia sedar daripada koma selama empat hari ketika menerima rawatan di HUSM.

"Setiap kali teringat suami yang sanggup tidur di lantai hospital dengan beralaskan tikar membuatkan saya sebak. Pengorbanan suami dan doa orang ramai menjadi semangat untuk saya bangkit berusaha walaupun sedar diri ini tidak sempurna seperti insan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 4:37 PM