Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), di sini, mula dikunjungi orang ramai yang ingin membuat perjalanan rentas negeri bagi bertemu keluarga masing-masing di kampung selepas kebenaran diberikan kerajaan.

Tinjauan mendapati mereka memilih untuk merentas negeri hari ini berikutan cuti hujung minggu dan cuti umum sempena Maulidur Rasul pada Selasa depan.

Seorang pekerja kilang, Noor Liza Baba, 33, berkata dia merentas negeri untuk berjumpa suaminya di Taiping, Perak selepas enam bulan tidak bertemu.

"Saya dan suami adalah pasangan jarak jauh (PJJ) yang mana saya bekerja di Pulau Pinang manakala suami pula mengusahakan bengkel kenderaan di Perak.

"Jika sebelum ini hendak bertemu kami terpaksa meminta surat kebenaran dari polis namun sebenarnya ia agak leceh ditambah pula dengan peningkatan kes Covid-19 yang tidak menentu maka kami tangguhkan hasrat berjumpa.

"Oleh itu, kebenaran rentas negeri yang diberikan kerajaan amat melegakan hati saya, tambahan pula berasa selamat menggunakan pengangkutan awam kerana semua penumpang sudah lengkap divaksin," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Noor Liza berlepas ke Perak menggunakan perkhidmatan keretapi elektrik (ETS) yang sudah memulakan operasinya sejak semalam.

Terdapat 27 penumpang menggunakan perkhidmatan ETS di stesen, di sini yang akan melalui tiga stesen iaitu Taiping, Ipoh dan KL Sentral.

Dalam pada itu, pelajar kolej, P Kumar, 25, berkata dia mengambil kesempatan untuk bertemu keluarga dan saudara mara di Kuala Lumpur selepas rentas negeri dibenarkan.

"Kebetulan ETS pula sudah beroperasi maka saya menggunakan perkhidmatan ini kerana lebih mudah, cepat dan selesa.

"Saya turut mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan walaupun sudah lengkap divaksin apabila memakai pelitup muka dan membawa cecair pembasmi kuman untuk menjaga kebersihan diri," katanya.

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha dilaporkan berkata Perkhidmatan ETS akan beroperasi dengan 12 servis setiap hari berbanding dua pada ketika ini.

Laluannya meliputi sektor Gemas - Padang Besar, KL Sentral – Ipoh, Gemas – Butterworth dan sebaliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 4:33 PM
Perkhidmatan KTM Komuter Padang Besar - Butterworth ketika tinjauan di Stesen KTM Butterworth di sini.  FOTO DANIAL SAAD
Perkhidmatan KTM Komuter Padang Besar - Butterworth ketika tinjauan di Stesen KTM Butterworth di sini. FOTO DANIAL SAAD