KAWASAN tumpuan tapak sampah longgok di Taman Daya Kepong, Selayang, dipenuhi semula dengan sisa sampah pukal dan industri, hari ini.
KAWASAN tumpuan tapak sampah longgok di Taman Daya Kepong, Selayang, dipenuhi semula dengan sisa sampah pukal dan industri, hari ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


Selayang: Hanya selepas seminggu aktiviti pembersihan dan pengindahan dilaksanakan di kawasan tapak sampah longgok di Taman Daya Kepong di sini, lokasi berkenaan dipenuhi semula dengan sisa sampah pukal dan industri.

Pengarah Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Mohamad Zin Masoad berkata, keadaan itu dikesan pihaknya yang membuat pemeriksaan di kawasan berkenaan hari ini.

"MPS bersama Timbalan Yang Dipertua MPS Cheremi Tarman, Ahli Majlis Kawasan Zon 19 Tam Kar Lye dan pihak KDEB Waste Management Sdn Bhd mengambil inisiatif melaksanakan Program Pengindahan Hotspot Sampah Longgok pada 29 September lalu.

"Dalam program itu, kami menggunakan tayar terbuang untuk dijadikan landskap kejur di kawasan berkenaan bagi menghalang aktiviti lambakan sampah pukal yang tidak terkawal.

"Namun, usaha kelestarian dan pengindahan yang dijalankan itu menjadi sia-sia apabila ada individu yang tidak bertanggungjawab kembali membuang sampah di kawasan terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, MPS amat kesal dengan tindakan individu tidak mempunyai kesedaran sivik dan jelas tidak menghargai inisiatif yang dilaksanakan oleh MPS bagi mewujudkan persekitaran bersih dan indah.

"Bagi memastikan kawasan itu kembali bersih, MPS membuat pembersihan di kawasan berkenaan hari ini.

"MPS berharap perkara ini tidak akan berulang dan orang ramai juga disarankan untuk menjadi mata dan telinga bagi melaporkan perbuatan pembuangan sampah longgok di kawasan awam.

"Orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang maklumat dan pertanyaan dengan melayari www.mps.gov.my atau menghubungi talian hotline MPS di talian 1800222677," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 6:03 PM