Oleh Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Polis Kontinjen Terengganu menerima kompleks baharu yang dijangka siap pada 2024 selepas kerajaan meluluskan peruntukan RM104 juta bagi tujuan pembangunan berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pembinaan bangunan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di tapak sedia ada yang berkeluasan 2.05 hektar itu dijangka memakan masa tiga tahun untuk disiapkan.

Beliau berkata, kompleks baharu terdiri daripada bangunan sembilan tingkat dan beberapa kemudahan lain termasuk dewan serba guna itu dibina di tapak asal IPK Terengganu.

"Pembinaan IPK Terengganu yang baharu ini adalah sebahagian daripada pelan strategi keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memberikan kelangsungan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat khususnya warga negeri Terengganu.

"IPK Terengganu yang dibina pada 1937 sudah berusia 84 tahun dan bangunan sedia ada sudah tidak lagi sesuai kerana mengalami masalah pendawaian elektrik yang membawa risiko kebakaran selain ruang pejabatnya tidak lagi berupaya menampung keperluan perjawatan semasa.

"Kita berharap pembangunan semula ini akan memberi keselesaan seramai 993 warga kerja PDRM Terengganu seterusnya memperkemaskan gerak kerja kontinjen Terengganu," katanya kepada pemberita di Upacara Pecah Tanah Pembinaan IPK Terengganu di sini, hari ini.

Hamzah Zainudin (tiga dari kanan) menunjukkan tanda bagus selepas menurunkan tandatangan pada plak. FOTO GHAZALI KORI
Hamzah Zainudin (tiga dari kanan) menunjukkan tanda bagus selepas menurunkan tandatangan pada plak. FOTO GHAZALI KORI

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa.

Sementara itu, Acryl Sani berkata, kompleks baharu IPK Terengganu itu dikekalkan di tapak asal kerana ia terletak di lokasi strategik iaitu tengah-tengah bandar raya ini.

Katanya, pembangunan semula IPK Terengganu itu mencerminkan keprihatinan kerajaan kepada Polis Diraja Malaysia.

"Penyediaan prasarana yang kondusif bukan sahaja akan memberi keselesaan kepada warga kerja PDRM Terengganu tetapi turut memberi manfaat serta keselesaan kepada masyarakat malah meningkatkan kepercayaan mereka terhadap PDRM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 6:11 PM