Izad Thaqif Hassan

[email protected],my

Kulim: Jika mahu, dia boleh sahaja menggunakan kekurangan diri untuk meminta simpati orang ramai bagi mencari wang dengan mudah.

Namun, tindakan 'menjual diri' bagi mendapatkan bantuan bukan sikap Zulkifli Din, 63, kerana dia akan berusaha mencari rezeki menggunakan kemahiran sebagai mekanik kenderaan berat selagi ada kudrat.

Zulkifli berkata, walaupun kudung kaki kanan, dia tidak akan sesekali meminta sedekah kerana masih berupaya melakukan kerja untuk mencari sesuap nasi.

Menurutnya, pesanan arwah ibunya yang melarang dia daripada meminta simpati orang ramai sentiasa terngiang-ngiang di telinganya sehingga kini.

"Saya tidak meminta sedekah atau simpati orang ramai walaupun boleh berbuat demikian kerana amanat arwah ibu membuatkan semangat saya lebih kuat untuk mencari rezeki menggunakan kemahiran dan kudrat.

"Pesanan arwah ibu supaya jangan menyusahkan orang lain walaupun kita sendiri dalam kesusahan sentiasa dipegang teguh," katanya yang berasal dari Kampung Sungai Padang, Simpang empat, Perlis.

Zulkifli berkata demikian selepas menerima sumbangan daripada Pengasas Pasukan Buru Amal Kulim, Nordin Abu Bakar, di sini, hari ini.

Mengenang kembali kisah kecacatan kaki kanannya, Zulkifli berkata, dia terbabit dalam kemalangan jalan raya apabila motosikal ditunggangnya dirempuh pada 2000 lalu.

"Ketika itu, saya bekerja sebagai mekanik di Baling dan dimasukkan ke hospital dengan doktor memaklumkan kaki kanan hancur sepenuhnya hingga paras bawah pinggang.

"Peristiwa 21 tahun lalu itu membuatkan saya terpaksa pulang ke kampung, namun selepas sembuh saya bekerja pula sebagai mekanik di bengkel rakan di Perlis," katanya.

ZULKIFLI yang kudung kaki kanan tidak pernah guna kesempatan kekurangan diri untuk meminta bantuan. FOTO Izad Thaqif
ZULKIFLI yang kudung kaki kanan tidak pernah guna kesempatan kekurangan diri untuk meminta bantuan. FOTO Izad Thaqif

Menurutnya, dia kemudian dihubungi abang sulungnya memberitahu supaya memohon kerja sebagai mekanik di sebuah bengkel di Kulim kerana terdapat kekosongan.

Katanya, arwah abangnya mengenali pemilik tauke bengkel tauke berbangsa Cina itu, namun tidak memaklumkan keadaan fizikal dan kekurangan dirinya.

Menurutnya, walaupun pemilik kedai terbabit terkejut melihat dirinya sebaik mereka bertemu, tauke itu tidak pernah memandang hina malah menaruh kepercayaan penuh kepadanya untuk membaiki lori.

"Kepercayaan diberikan pemilik bengkel ini membuatkan saya sudah bertahan sejak 17 tahun lalu dengan bekerja bersama syarikatnya.

"Saya bersyukur kerana tauke memberi peluang bekerja di sini dan mereka sekeluarga juga melayan saya dengan baik," katanya yang bekerja di bengkel Jalan Tunku Putra.

Katanya, pada masa sama dia juga terharu kerana isteri, Jamilah Kassim, 55, sanggup menerima dirinya sebagai suami walaupun mengetahui dirinya tidak sempurna selain tiada harta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 3:50 PM