Foto hiasan
Foto hiasan
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Semua Ahli Parlimen akan menerima peruntukan bagi kawasan Parlimen masing-masing bermula bulan ini hingga Disember nanti.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Mastura Yazid berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju untuk memberikan peruntukan itu termasuk kepada wakil rakyat pembangkang bagi baki empat bulan terakhir tahun ini.

Menurutnya, peruntukan Khas Perdana Menteri untuk kawasan Parlimen adalah sebagai penambah dan pelengkap kepada peruntukan yang disediakan oleh kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun. Penyediaan Peruntukan Kawasan Parlimen kepada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dengan nilai yang berbeza sebelum ini adalah mengikut dasar sedia ada yang terdahulu.

"Ia juga bergantung kepada kemampuan dan kedudukan semasa kewangan kerajaan.

"Inilah komitmen kerajaan dalam menghormati perkara-perkara seperti termaktub di dalam Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik," katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Menjawab persoalan dibangkitkan ahli dewan, beliau berkata, sehingga 17 September lalu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Jabatan Perdana Menteri menerima sejumlah 49,789 permohonan untuk Bantuan Khas Covid-19 sebanyak RM100 sehari.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 18,222 permohonan diluluskan.

Mengenai Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19, beliau berkata, sehingga tarikh yang sama, daripada 6,248 permohonan yang diterima, Nadma memberikan bantuan kepada 4,274 orang waris dengan jumlah bantuan sebanyak RM21.37 juta.

"Sebanyak 12 permohonan tidak layak atau ditolak kerana bukan kematian Covid-19 dan baki 1,962 sedang diproses.

"Proses ini turut meliputi verifikasi status warganegara dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan semakan data kematian Covid-19 oleh pemohon dengan data kematian Covid-19 Kementerian Kesihatan (KKM) Putrajaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 9:57 PM