BERNAMA

Kuala Lumpur: Pembinaan struktur tambahan yang melanggar undang-undang dan garis panduan dikenal pasti antara punca menyebabkan insiden tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights di sini, Jumaat lalu, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata perkara itu antara yang dapat dilihatnya menerusi tinjauan ke lokasi kejadian hari ini.

"Setiap pembinan di lereng bukit atau tempat tinggi sudah ada garis panduannya sendiri di bawah Jabatan Perancang Bandar dan Desa serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Saya kira masa pembinaan mereka ikut undang-undang, tetapi selepas siap ada pula penambahan dan sebagainya itu yang kadang-kadang di luar pemantauan pihak berkuasa," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam insiden tanah runtuh itu, tiga rumah banglo dan 12 rumah jenis bandar membabitkan 27 keluarga terjejas, namun tiada sebarang kemalangan jiwa.

Bagaimanapun Takiyuddin berkata pihaknya faham ada antara penduduk yang terpaksa membuat pembinaan struktur tambahan berikutan keperluan keluarga yang semakin besar, namun menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mematuhi garis panduan ditetapkan.

Takiyuddin Hassan (empat dari kanan) mendengar penerangan daripada Hisamuddin Termidi (dua dari kiri) ketika melihat kawasan sekitar tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights hari ini. FOTO BERNAMA
Takiyuddin Hassan (empat dari kanan) mendengar penerangan daripada Hisamuddin Termidi (dua dari kiri) ketika melihat kawasan sekitar tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights hari ini. FOTO BERNAMA

"Tindakan mematuhi undang-undang termasuk undang-undang kecil di pihak PBT perlu dipatuhi supaya tidak berlaku perkara sebegini lagi," katanya.

Sementara itu, beliau berkata laporan lengkap mengenai insiden itu yang disediakan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dijangka siap esok, akan dijadikan panduan kepada agensi dan jabatan lain untuk membuat tindakan susulan.

"Hasil kajian ini kami akan kemukakan dan seterusnya pihak-pihak berkenaan akan memohon peruntukan dari kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor untuk perkara ini," katanya.

Manakala Pegawai Daerah Gombak Nor Azlina Abdul Aziz berkata Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) juga sudah diarah melakukan pemeriksaan terhadap kawasan cerun dan pembinaan di kawasan Kemensah Heights bagi memastikan ia mematuhi syarat dan peraturan pembinaan.

Terdahulu Takiyuddin diberikan taklimat oleh pihak berkuasa dan turut meninjau kesan kerosakan di lokasi tanah runtuh itu yang turut disertai Ketua Pengarah JMG Hishamuddin Termidi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 3:49 PM