Nuraliawati Sabri


Melaka: Angkara meninggalkan komen jelik dan menghina institusi raja serta agama Islam, seorang sukarelawan sebuah badan kerajaan (NGO) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Tertuduh Prajiv Lionel Proctor, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan laman sosial Facebooknya Lionel Proctor secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik.

Tindakan itu dengan niat untuk menganiayai orang lain yang dibaca di laman profil Facebook Bantal Busuk kira-kira jam 1 tengah hari pada 29 Disember 2019, di Bukit Piatu, Melaka.

Justeru tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.

Prajiv Lionel Proctor mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin. FOTO BERNAMA
Prajiv Lionel Proctor mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin. FOTO BERNAMA

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari, mencadangkan jumlah jaminan RM15,000 diberikan kepada tertuduh.

Tertuduh yang diwakili peguam Tan Show Teng, merayu agar jaminan rendah diberikan alasan anak guamnya itu tiada pendapatan tetap selain kini sedang menjalani rawatan penyakit kanser tiroid dan menghidap Obsessive Kompulsif (OCD) serta Gangguan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD).

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5, 000 selain menetapkan 17 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 2:33 PM