KESEMUA tertuduh dibawa keluar mahkamah selepas mengaku tidak bersalah. FOTO Nuraliawati Sabri
KESEMUA tertuduh dibawa keluar mahkamah selepas mengaku tidak bersalah. FOTO Nuraliawati Sabri
Nuraliawati Sabri
am@hmetro.com.my


Melaka: Empat individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan membuat komen jelik terhadap Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam di laman sosial milik mereka.

Bagaimanapun, semua tertuduh mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa mahkamah secara berasingan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Mengikut pertuduhan, Mohd Hermy Rahim, 34; Muhammad Ali Aswad Asngadu, 28; Ahmad Zaki Yamani Zainon, 45 dan Mohd Hafizuddin Rahmad, 36, didakwa menggunakan aplikasi internet melalui laman profil Twitter milik mereka secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Justeru, semua mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a), Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3), akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Perbuatan itu dilakukan keempat- empat tertuduh antara 28 hingga 29 Julai 2021.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari mencadangkan kepada mahkamah jumlah jaminan RM15,000 kepada setiap tertuduh.

Bagaimanapun, selepas mendengar hujah kedua-dua pihak mahkamah kemudian membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM5,000 seorang selain menetapkan 22 September depan tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh Ahmad Zaki diwakili peguam Saiful Ambar Abdullah Ambar, manakala tiga lagi diwakili P Purshotaman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 6:07 PM