GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Jumlah kes kematian Covid-19 tertunggak yang dilaporkan di negara ini disebabkan terdapat kes baharu dikenalpasti dijangkiti virus berkenaan selepas pesakit itu meninggal dunia.

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Dr A Mahesh berkata, terdapat perbezaan di antara kes kematian disebabkan Covid-19 dengan kematian bersama virus terbabit dan disebabkan itu ada beberapa kesulitan untuk melaporkan jumlah keseluruhan kes berkenaan pada tarikh sebenar.

Katanya, Malaysia melaporkan kes kematian disebabkan oleh Covid-19 iaitu penyelidikan klinikal mendapati pesakit terbabit meninggal dunia disebabkan oleh virus berkenaan.

"Kita memberi penekanan pada kes seperti ini kerana penting untuk Kementerian Kesihatan (KKM) mengenalpasti keberkesanan vaksin atau kadar kematian dan sebagainya.

"Kita perlu tahu sebab apa individu itu meninggal dunia iaitu dengan Covid-19 atau disebabkan oleh Covid-19. Namun ini memerlukan masa kerana perlu menjalani pemeriksaan autopsi dan klinikal serta ia bukan semata-mata untuk memeriksa pesakit itu positif Covid-19 atau sebaliknya," katanya ketika sesi berhubung data di dalam COVIDNOW yang diadakan bersama media secara maya, hari ini.

Tambahya, terdapat juga kes kematian yang bukan disebabkan oleh Covid-19 seperta akibat kemalangan, namun ketika sesi bedah siasat dijalankan, 'secara tidak sengaja' pihaknya mendapati kes kematian itu sebenarnya dijangkiti Covid-19.

Terdahulu, 592 kematian akibat Covid-19 yang dilaporkan semalam adalah termasuk kes tertunggak atau 'backlog' yang tidak dilaporkan sebelum ini.

Data yang dikongsi COVIDNOW menunjukkan, daripada 592 kes terbabit, hanya 100 kematian dicatatkan dalam tempoh 24 jam semalam.

Untuk rekod, kematian tertinggi pernah dilaporkan di negara ini adalah pada 26 Ogos lalu iaitu sebanyak 393 kes.

Dalam statistik semalam, Selangor mencatatkan kes kematian tertinggi dengan 359 kes, Sabah (53), Kedah (49), Perak (28), Pulau Pinang (27), Negeri Sembilan (15), Kelantan (11), Johor (10), Sarawak (10), Melaka (9), Kuala Lumpur (8), Pahang (6), Terengganu (6) dan Perlis (1).

Data yang dikongsi laman web itu itu turut menunjukkan hanya Labuan dan Putrajaya tidak melaporkan pertambahan kematian dalam tempoh 24 jam semalam. Perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan angka korban disebabkan Covid-19 di negara ini mencecah 20,419 kes.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Faizah Zin berkata, jumlah kes kematian itu pelaporannya lebih dinamik.

"Ini bermakna kes yang dilaporkan hari ini akan berubah kerana bergantung kepada kes tertunggak. Contohnya jika pada 11 September kes kematian dilaporkan ada sejumlah 100 kes, namun tiga hari kemudian kita baru mendapat keputusan sebenarnya terdapat tiga lagi kematian yang dijangkiti Covid-19 pada tarikh yang sama.

"Jadi pada data yang diberikan, pada 11 September angka kes kematian bukan lagi 100, tetapi menjadi 103 kes, jumlahnya akan bertambah seiring dengan kes tertunggak yang dikenal pasti," katanya.

Tambah Dr Faizah, data yang dikongsi di dalam laman web berkenaan akan dilihat oleh individu daripada pelbagai bidang dan untuk membuat sebarang polisipihaknya akan melihat kepada data secara mingguan iaitu dalam tempoh tujuh hari.

"Dari segi polisi sekiranya kita mahu utarakan pandangan kepada pihak kementerian bagi kawalan pandemik atau sebarang penyakit, kita akan lihat purata data dalam tempoh tujuh hari serta melihat bagaimana (data) bergerak. Ini kerana kita tidak tengok pada data harian, kita lihat puratanya untuk lihat kepada trend," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 4:32 PM