MASRI sedang melakukan rundingan dengan tahanan DTI yang membuat provokasi. FOTO Ihsan pembaca
MASRI sedang melakukan rundingan dengan tahanan DTI yang membuat provokasi. FOTO Ihsan pembaca
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Akibat tidak berpuas hati apabila proses penghantaran pulang ke negara asal tertangguh, hampir 400 tahanan Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Kota Kinabalu, di sini, merusuh, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi, semua tahanan dipercayai warga Filipina itu hanya dapat meloloskan diri dari lokap tanpa berjaya melepasi pagar lokap berkenaan.

Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia Sabah Masri Adul berkata, siasatan awal mendapati kejadian bermula dari blok yang menempatkan tahanan wanita.

Katanya, sekumpulan tahanan wanita itu mendakwa terlalu 'stress' sehingga meminta supaya segera dihantar pulang ke negara mereka.

"Provokasi itu didengari tahanan lelaki di blok lain yang terletak berhadapan blok wanita sehingga mencetuskan rusuhan kecil.

"Tahanan di tiga blok lelaki kemudian bertindak merosakkan kunci mangga pintu lokap mereka dan terus keluar ke kawasan lokap," katanya ketika dihubungi, di sini.

Masri berkata, sebaik menyedari kejadian, pihak DTI menghubungi polis dan ibu pejabat imigresen negeri bagi mendapatkan bantuan.

Katanya, kira-kira 70 anggota dan pegawai serta 40 anggota bahagian penguatkuasaan imigresen dikerah ke lokasi kejadian.

"Rusuhan kecil itu berjaya dikawal menerusi rundingan hampir satu jam oleh saya sendiri bersama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah.

"Kami menerangkan secara lanjut kepada tahanan mengenai situasi sebenar berhubung proses penghantaran semula yang terpaksa ditangguhkan atas permintaan Kedutaan Filipina sendiri .

"Ia disebabkan beberapa perkara termasuk penularan pandemik Covid-19," katanya.

Menurutnya, kesemua tahanan memahami situasi itu dan mereka kemudian kembali ke lokap masing-masing.

Katanya, berikutan itu, polis akan menempatkan seramai 30 anggota di DTI berkenaan untuk tempoh beberapa hari bagi memantau keadaan.

"Tiada sebarang kerosakan berlaku dalam insiden ini dan pemantauan juga akan dijalankan dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 3:36 PM