Zuhainy Zulkiffli


Teluk Kumbar: Keputusan Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenepikan kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR), memberi harapan baharu kepada penduduk khususnya golongan nelayan di negeri ini.

Nelayan dari Unit Nelayan Sungai Batu ketika ditemui di sini, meluahkan kesyukuran apabila 'lubuk ikan' yang menjadi punca pendapatan penduduk terus dikekalkan.

Ketua unit nelayan, Zakaria Ismail, 64, berkata, bagi memastikan perairan negeri terus dipelihara, dia mencadangkan supaya lokasi berkenaan dijadikan taman laut moden.

Konsep berkenaan bukan sahaja dapat mengekalkan keaslian lokasi dan alam sekitar, tetapi berpotensi menjadi lokasi tarikan pelancong seterusnya menjana pendapatan penduduk.

"Seperti yang terdapat di Thailand, perkampungan nelayan mereka mempunyai kedai, pasar dan kemudahan tersendiri tanpa merosakkan alam sekitar dan perairan.

"Dengan keputusan yang kita dapat semalam, diharap golongan nelayan juga dapat bersama-sama menjaga kawasan ini sebaiknya," katanya ditemui di sini, hari ini.

Menurut Zakaria, jika kerajaan negeri mahu mengemukakan laporan EIA yang dikemaskini semula, mereka tetap akan mengemukakan bantahan bagi memastikan laut dan alam sekitar kekal terpelihara.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

"Niat saya memang hendak buat kenduri kesyukuran namun kita perlu patuh prosedur operasi standard (SOP). Justeru, saya hendak buat (kenduri) dengan memberi bungkusan makanan sedikit hari lagi.

"Ia bukan sahaja kemenangan yang berpihak kepada nelayan, tetapi menjadi hadiah hari jadi saya yang ke-64 pada minggu lalu," katanya.

Sementara itu, nelayan, Ramli Ayob, 68, berkata, jika projek berkenaan diteruskan, dia antara yang terkesan kerana rumahnya terletak hanya 300 meter dari lokasi terbabit.

"Memang lega ia dibatalkan, jika tidak, buka sahaja pintu rumah, sudah boleh lihat projek berkenaan berjalan.

"Hasil pendapatan sebagai nelayan inilah saya gunakan bagi membesarkan empat anak termasuk seorang yang kini berada di luar negara.

"Lega ia dibatalkan namun tidak tahulah pada masa akan datang, risau dan takut tempat ini akan terjejas jika tidak dijaga dengan baik," katanya.

Semalam, Lembaga Rayuan JAS memutuskan bagi mengetepikan kelulusan EIA bagi projek tambak laut yang membentuk tiga pulau buatan di perairan selatan.

Keputusan itu menjadikan, kelulusan EIA bagi projek berkenaan adalah terbatal dan tidak lagi sah selepas ia diperoleh pada 25 Jun 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 5:28 PM